Empat kluster baharu, tiga di Kuching, satu Saratok

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri mengisytiharkan empat kluster baharu di Daerah Kuching(3) dan Saratok (1).

Kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), kluster pertama ialah Kampung Semerah Padi merupakan satu kluster komuniti yang dikesan di sebuah Kampung Semerah Padi Fasa 1, Kuching apabila merebak melalui pergerakan sosial dalam kalangan ahli keluarga, rakan sekerja dan rakan sosial kepada kes indeks.

“Kluster kedua ialah Jalan Sukma merupakan satu kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan sebuah syarikat pemaju perumahan di Sukma Commercial Centre, Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, Kuching.

“Kes indeks kepada kluster ini ialah kes Ke-42,039 yang merupakan seorang kakitangan syarikat tersebut yang dikesan melalui saringan individu bergejala di sebuah hospital swasta di Kuching pada 23 Mei 2021,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah JPBM, kes ini telah didaftar sebagai kes Covid-19 di Daerah Samarahan berdasarkan tempat kediaman dan telah mula mengalami gejala dan menunjukkan tanda-tanda sejak 20 Mei 2021 yang lalu.

“Kluster ketiga ialah Akedemi Semariang, Kuching yang merupakan satu kluster institusi kemahiran dikesan melibatkan sebuah akedemi kemahiran binaan di Jalan Sultan Tengah di Kuching Sarawak.

“Kes indeks kepada kluster ini ialah kes ke-39,076 yang merupakan seorang penuntut akedemi tersebut yang dikesan melalui saringan pra kemasukan semula selepas bercuti pada 17 Mei 2021 dan disahkan positif pada 18 Mei 2021,” jelasnya.

Tegasnya, kluster keempat ialah kluster Lubok Nitik merupakan satu kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan pejabat dan kawasan perumahan pekerja sebuah syarikat penanaman kelapa sawit di Lubok Nitik, Saratok.

“Kes indeks kepada kluster ini ialah kes ke-39,659 yang merupakan seorang pengurus ladang tersebut yang dikesan melalui saringan individu bergejala di Hospital Saratok pada 17 Mei 2021 dan disahkan positif pada 19 Mei 2021,” ujarnya.

JPBN turut memberitahu, Jabatan Kesihatan Negeri telah mengisytiharkan satu kluster tamat iaitu Kluster Tabuan Melayu, Kuching setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari melibatkan kluster ini.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak