Industri pelancongan di Sarawak dibantu dalam BKSS 6.0

KUCHING: Industri pelancongan merupakan industri yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata perkara ini telah menyebabkan agensi pelancongan di Sarawak kehilangan sumber pendapatan kerana pembatalan lawatan oleh pelancong dan tidak ada tempahan untuk enam bulan yang akan datang.

“Bagi memastikan industri pelancongan bertahan dari krisis ini dan meneruskan kelangsungan perkhidmatan di sektor pelancongan, Kerajaan Sarawak akan memberi bantuan kewangan secara one-off atau sekali sahaja.

“Kita memberi bantuan RM3,000 untuk 216 Agensi Pelancongan berlesen, RM600 untuk 568 pengendali inap desa berlesen, RM1,500 untuk 219 pemandu pelancong dan 173 pemandu pelancong taman negara yang berdaftar di Sarawak.

“Selain itu, kita memberi RM500 untuk 99 pemandu kenderaan pelancong berlesen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai BKSS 6.0 yang bertemakan meringankan beban rakyat di sini hari ini.

Abang Johari memberitahu pemberian geran khas ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM1.63 juta.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak