Kaji khasiat buah ensuna

SERIAN: Ramai yang berkunjung ke bandar Serian mungkin tidak mengenali atau ingin nak tahu sejenis buah yang dikenali dengan nama buah ensuna oleh penduduk Melayu tempatan.

Buah ensuna banyak dijual di pasar sayur, di bawah bangunan Pasar Serian di sini. Harganya boleh mencecah sehingga RM20 sekilogram jika bekalannya berkurangan.

Buah ensuna berbentuk bulat sebesar buah langsat atau duku – isinya keras. Bagi masyarakat Bidayuh di kawasan Serian, buah ini dikenali sebagai Udu, manakala masyarakat Iban tempatan pula menyebutnya sebagai kasindu.

Rata-rata penduduk di daerah Serian memberitahu, buah ensuna boleh digunakan sebagai ramuan tambahan untuk memasak pelbagai jenis sayur dan masakan lain.

Meskipun peranannya hampir sama dengan bawang putih, namun rasa masakan terutama sayursayuran lebih enak dan beraroma jika dicampur dengan buah ensuna. Tidak hairanlah buah ensuna menjadi kegilaan penduduk tempatan di Serian terutama masyarakat Iban dan Bidayuh. Seorang peniaga di pasar sayur Serian, Sopian Zabe, 48, memberitahu, selalunya dia menjual lebih 60 kilogram buah ensuna setiap hari, namun ia bergantung kepada bekalan yang diperolehnya.

BUAH ensuna yang boleh dibeli di pasar Serian.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu tidak dapat memenuhi permintaan yang semakin bertambah kerana buah ensuna sentiasa laris di Serian. Katanya, dia menerima bekalan buah ensuna daripada petani atau penduduk dari daerah Serian terutama dari kawasan Remun dan Lebor, dekat bandar Serian.

“Kadang-kadang bekalan buah ensuna sukar diperoleh kerana ia bukan jenis pokok yang ditanam, tetapi tumbuhan liar yang tumbuh di merata tempat yang sesuai. “Lagipun buah ensuna tidak mampu bertahan di kawasan kering atau di kawasan yang berhawa panas kerana boleh menjejaskan kualitinya.

“Ramai yang memberitahu buah ensuna dapat bertahan lama apabila disimpan di kawasan lembab dan berair. “Malah ada yang menyimpan buah ensuna dengan ditanam ke dalam tanah yang lembab, kononnya untuk mengekalkan kualiti dan menjadikan buah ini dapat bertahan lama,” katanya.

Buah ensuna dikhuatiri dikatakan boleh pupus pada masa akan datang jika tiada usaha untuk menanam buah ini secara komersial seperti tanaman lain.

Lagipun kegunaan buah ensuna dalam masakan perlu dipromosikan agar lebih ramai penduduk akan mengetahui keenakan buah ensuna. Manakala kajian juga perlu dilakukan bagi mengenali khasiat buah ensuna ini. Ramai yang berpendapat ramuan resipi warisan ini mampu kekal sepanjang zaman.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak