Kes positif Covid-19 menembusi angka 40 ribu dengan tambahan 608 kes baharu dan dua kematian hari ini

KUCHING: Sarawak melaporkan 608 kes baharu Covid-19 dan dua kematian melibatkan warga emas, hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, susulan itu jumlah keseluruhan positif Covid-19 meningkat kepada 40,259 kes manakala jumlah kematian pula telah meningkat kepada 239 orang.

Menurut JPBN sejumlah 442 atau 72.70 peratus daripada jumlah kes positif tersebut telah dikesan di Daerah Sibu, Miri, Kuching, Kapit dan Bintulu.

Katanya, daerah-daerah yang merekodkan kes pada hari ini ialah Daerah Sibu (120), Miri (110), Kuching (86), Kapit (76), Bintulu (50), Selangau (32), Pakan (19), Bukit Mabong (15), Song (12), Samarahan (11),
Lawas (10), Serian (9), Sarikei (8), Subis (7), Saratok (7), Mukah (7), Sebauh (6), Bau (5), Belaga (4), Betong (4), Julau (2), Asajaya (2), Pusa (2), Dalat (1), Kanowit (1), Simunjan (1) dan Meradong (1).

“Daripada 608 kes baharu yang dilaporkan, seramai 86 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan.

“Manakala, seramai 494 orang adalah terdiri daripada individu yang telah diberi arahan perintah kuarantin,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Dalam pada itu, menjelaskan tentang kes kematian JPBN berkata, kes kematian ke-238 adalah kes ke-39,481 melibatkan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) berumur 84 tahun dari Daerah Miri.

“Kes disahkan meninggal dunia pada 18 Mei 2021 dan mempunyai ko morbiditi penyakit darah tinggi,” ujarnya.

JBPN memberitahu, kes kematian ke-239 adalah kes ke-34,810 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 90 tahun dari Daerah Bau yang telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Sehubungan itu, kes disahkan meninggal dunia pada 19 Mei 2021. Kes ini mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi dan dislipidemia,” jelasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak