Kuasai rahsia al-Quran

LIMBANG: Selain menguasai bidang keagamaan, masyarakat setempat juga perlu menguasai bidang pendidikan. Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendidikan penting untuk memastikan rakyat dapat membangunkan agama.

Menurutnya, dunia sudah berubah dan ia mementingkan ilmu pengetahuan dan pendidikan untuk terus maju. “Kita harus menerima hakikat bahawa dunia jauh sudah berubah, kalau ada pendidikan, ilmu pengetahuan orang itu akan maju.

“Kalau kita tidak menguasai pendidikan, kepakaran terkini dan teknologi, kita akan tertinggal dan hanya akan menjadi penonton terhadap pembangunan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Dewan Bunga Raya di sini. Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, menuntut pendidikan bukan sahaja penting, malahan turut dituntut ajaran agama Islam.

Jelasnya, menuntut pendidikan di dunia sudah tertulis di dalam al-Quran, agar setiap penganut diberikan kebaikan di dunia dan akhirat. “Ajaran Islam dan rahsia ilmu itu banyak dalam al-Quran dan kita harus menguasainya. “Namun doa sahaja tidak akan berjaya, perlu disusuli dengan usaha yang bersunguh-sungguh,” tegasnya.

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Adun Batu Danau Paulus Palu Gunbang, Residen Bahagian Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak