Kunci kawasan terjejas sahaja

KUCHING: Kerajaan Sarawak disaran tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai langkah mengekang penularan Covid-19, walaupun ia kini membimbangkan.

Pesuruhjaya Suhakam Sarawak Datuk Dr. Madeline Berma berkata, sebaliknya langkah penting yang perlu dilakukan adalah dengan menguatkuasakan PKP atau memperketat kawalan di sesebuah tempat atau daerah yang terjejas teruk sahaja.

“Contohnya satu kawasan dalam sesebuah daerah berlaku penularan Covid-19 yang tinggi, jangan sekat pergerakan keseluruhan daerah itu tetapi laksanakan PKP atau sekatan pergerakan di kawasan yang terjejas sahaja,” katanya yang dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun PKP secara menyeluruh adalah langkah terbaik dan paling berkesan untuk menangani penularan Covid-19, namun ia tidak begitu relevan dilaksanakan kerana menjejaskan ekonomi dan kehidupan rakyat.

Justeru, Dr Madeline yang juga penganalisis ekonomi menjelaskan, dengan melaksanakan PKP secara bersasar di kawasan atau daerah terjejas sahaja, maka ia dapat memberi ruang kepada masyarakat di daerah-daerah lain untuk meneruskan kelangsungan hidup dan melakukan aktiviti ekonomi.

“Perlu ada keseimbangan antara memastikan penularan Covid-19 ini dapat dibendung dan ekonomi dapat berjalan. “Janganlah ada satu keadaan yang akan mengorbankan ekonomi, kedua-dua ini adalah saling berhubungan dan bergantungan.

“Kita jaga kesihatan rakyat dan pada masa sama perlu menjaga keadaan ekonomi serta kelangsungan hidup rakyat,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan mencadangkan PKP dilaksanakan di negeri-negeri membabitkan kes Covid-19 tinggi bagi mengekang penyebaran wabak berkenaan. Ia melibatkan Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak.

Bagaimanapun memberi maklum balas mengenai perkara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilaporkan berkata, Sarawak tidak akan melaksanakan PKP.

Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, Sarawak masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak