Lapan PPS dibuka bagi menampung 442 mangsa banjir di wilayah utara S’wak

MIRI: Jumlah mangsa banjir di Bahagian Limbang meningkat kepada 442 orang dari 25 kampung setakat 12 tengah hari ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang, kesemua mangsa adalah daripada 105 keluarga di daerah Lawas dan Limbang.

“Sejumlah lapan sejumlah lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka berbanding hanya empat semalam.

“Sementara itu, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Lintang, Lawas menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 147 orang diikuti Dewan Masyarakat Daerah Kecil Trusan dengan 100 orang dan seramai 81 mangsa di SJK Chung Hwa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, PPS lain yang turut dibuka adalah Dewan SK Sundar menempatkan 13 mangsa, Dewan Masyarakat Medamit (29), Dewan Kampung Ukong (28), Dewan Buloh Baloi (27) dan Dewan Kampung Bidang (17).

Dalam pada itu, lima buah sekolah di Limbang turut terjejas akibat bencana alam tersebut iaitu SK Kuala Awang, SK Ukong, SK Lubok Tekurok, SK Batu Danau dan SK Telahak.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak