Masjid Al-Abyad bantu Palestin

KUCHING: Tabung Kecemasan Palestin kelolaan Aman Palestin Malaysia terus menerima sumbangan apabila Masjid Al-Abyad, Matang Jaya menjadi penyumbang terkini setelah menyumbang lebih RM12,000 semalam.

Pengerusi Masjid Al-Abyad Ustaz Md. Ahir Ahmad berkata, sebanyak RM10,000 merupakan sumbangan jawatankuasa pengurusan masjid berkenaan, sementara lebih RM2,400 merupakan sumbangan jemaah sepanjang empat hari Tabung Aman Palestin disediakan di masjid itu.

“Kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh jemaah,” katanya pada majlis ringkas penyerahan sumbangan yang diterima oleh Pengurus Cawangan Aman Palestin Sarawak Zainizam Zawawi selepas solat Jumaat, semalam.

Pegawai Agama Islam Bahagian Kuching Ustaz Baharin Kawi turut hadir.Sementara itu Zainizam berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima sumbangan lebih RM1 juta dalam tempoh krisis kemanusiaan di Palestin.

Menurutnya, sumbangan diterima daripada jawatankuasa masjid, jabatan kerajaan, syarikat korporat serta masyarakat. “Kami mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Jawatankuasa Masjid Al-Abyad atas sumbangan ini.

Kami berharap ini menjadi contoh kepada masjid lain dalam menghulurkan sumbangan kepada Palestin,” katanya.

Bagaimanapun Zainizam menasihati mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan agar berhati-hati bagi mengelakkan ditipu.

“Cari agensi yang benar-benar diberikan kebenaran mengumpul sumbangan kewangan untuk Palestin,” katanya. Beliau turut menasihati masyarakat agar melihat isu Palestin sebagai isu kemanusiaan yang tidak harus menyebabkan keharmonian masyarakat di negeri ini terancam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak