Noriza Mastura Tamit, viral hip-hop lagu Melanau

MUKAH: Nama anak Kampung Pulau Igan, Noriza Mastura Tamit, 25, tiba-tiba naik mendadak gara-gara rakaman video lagu Hip Hop Melanau campuran yang dimuat naik ke laman sosial Facebook.

Rakaman bertajuk 16 bar Melanau Igan Ft Matu Daro yang berdurasi 55 saat itu mencuri perhatian ramai sehingga menjadi tular di pelbagai media sosial sejak Jumaat lalu.

Sehingga kini lagu unik itu mendapat ribuan ciapan dan rata-rata komen yang ditinggalkan memuji Noriza atau nama pentasnya, Skitz-I kerana berani menampilkan kelainan.

Namun bagi Pelatih Latihan Peningkatan Graduan Sarawak (GETS) di Perpustakaan Desa Oya ini, lagu hip hop Melanau itu hanya sekadar percubaannya bersama rakan, Nurfizatul Kipli sebelum dirakamkan dan dimuat naik ke laman sosial.

Ujarnya, dia hanya memerlukan masa beberapa minit untuk mencipta lirik lagu itu dengan menjadikan dialek Melanau Igan dan Matu Daro sebagai sumber inspirasi.

“Saya mencuba mencampur adukkan dialek itu dalam satu lirik. Tidak panjang, hanya 16 baris. Kerana itulah lagu itu dinamai sebagai 16 bar.

“Dalam setiap bait liriknya, saya ingin menonjolkan dialek Igan dan Matu yang mungkin ramai belum tahu. Walau pun, kami satu rumpun Melanau tetapi dialeknya berbeza,” katanya kepada Suara Sarawak.

Mengakui masih ‘hijau’ dalam bidang berkenaan, Noriza berkata, dia bersedia menerima sebarang kritikan dan kencaman.

Bagaimanapun katanya, setiap pujian yang dilemparkan oleh netizen membangkitkan semangatnya untuk terus berkarya mencipta sesuatu yang baharu.

“Saya akui rakaman yang di buat itu belum mencapai tahap yang sepatutnya namun, saya beranggapan ia sekadar permulaan. Terima kasih kepada mereka yang memberi sokongan dan kata perangsang.

“Apa-apa kekurangan harap dimaafkan, saya belum profesional dan masih perlu menimba ilmu daripada mereka yang lebih berpengalaman,” katanya sambil menambah beliau merupakan antara ahli NKU Familia.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak