Nur Hifzhan guru luar biasaa

SEBUT sahaja sekolah di pedalaman, pasti ramai memikirkan tempat yang begitu jauh, jarak sekolah yang sukar dilalui dan tiada akses telekomunikasi.

Hakikatnya itu yang dilalui para guru di sana setiap hari.

Namun, keadaan pasti berbeza bagi budak bandar yang tidak tahu selok-belok kawasan pedalaman, apatah lagi ditempatkan seorang diri dengan dunia baharu untuk bertugas sebagai guru.

Ini yang dilalui oleh Mohd Nur Hifzhan Noordan, 25.

Dia perlu menempuh perjalanan dari rumahnya di Sibu menuju Pekan Mukah, kemudian memasuki Kampung Tellian.

Seterusnya memasuki Kampung Penakub Bazaar, dan melalui pula kawasan rumah panjang sebelum berhenti di jeti perahu penduduk kampung.

Akhirnya dia perlu menaiki bot selama setengah jam sebelum sampai ke sekolah tempat dia bertugas.

Jika air pasang, perjalanan ke sekolah akan lancar.

Namun jika air surut, guru dan penduduk kampung perlu membawa perahu yang tersangkut di tebing ke tengah sungai untuk meneruskan perjalanan.

Malah memijak tanah becak hingga ke paras betis adalah perkara biasa.

Semua ini tidak mematahkan semangat Nur Hifzhan yang berjaya mengadaptasi budaya baharu itu untuk terus mendidik anak bangsa menjadi insan berguna.

Jumaat lepas, Mohd Nur Hifzhan tersenarai antara 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonals 2021 – Guru Luar Biasa.

Ia membuka lembaran baharu kepada diri anak jati Sibu ini untuk tidak gentar menjalankan tugas sebagai guru walaupun masih hijau dalam dunia pendidikan.

Nur Hifzhan yang kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Kuala Kenyana, Mukah dia tidak menyangka menjadi antara dua nama guru dari Sarawak yang tersenarai dalam anugerah itu.

“Saya terkejut apabila Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri memaklumkan melalui surat yang meminta saya menyertai mesyuarat dalam talian dengan McDonalds Malaysia.

“Seterusnya memaklumkan saya antara 25 guru tersenarai bagi anugerah ini dan terpilih antara lebih 4,000 pencalonan.

“Saya masih baru dan mengajar di pedalaman, malah masih ramai guru senior yang lebih layak.

Apa-apa pun, terima kasih kepada Leon Li Gabriell Bakar, murid tahun enam yang mencalonkan saya dalam anugerah ini.

“Mungkin cerita yang disampaikannya menyentuh hati juri. Saya tidak pasti yang dia tulis sebab saya tahu apa-apa yang mereka sampaikan adalah dari hati mereka. Apa-apa yang mereka perhatikan itulah mereka cakap,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Katanya, semua penerima anugerah yang dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp berkongsi cerita dan inspirasi mereka yang banyak membantu sekolah dan pelajar selama ini.

Kobankan wang, masa dan tenaga Nur Hifzhan yang mesra dengan panggilan Ijan percaya mengajar di kawasan pedalaman adalah peluang, pengalaman dan nikmat yang tidak boleh digantikan dengan apa-apa sahaja.

Anak sulung daripada tiga adik-beradik ini mengakui dia menggunakan sebahagian gajinya untuk membantu pelajarnya terutama dalam membeli alat tulis pelajar, termasuk membantu penglibatan pelajar dalam pelbagai pertandingan di peringkat sekolah, kebangsaan mahupun antarabangsa khasnya
secara maya.

Lulusan Institut Latihan Guru Rajang 2019 dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) untuk pendidikan Rendah dan Pendidikan Seni Visual (PSV) kini mengajar subjek Bahasa Inggeris, PSV dan Pendidikan Kesihatan.

Baginya, mengajar di sekolah pedalaman dengan sekolah jenis kurang murid itu mempunyai cabaran tersendiri, apatah lagi melibatkan sesi pembelajaran dan pengajaran dari rumah (PdPR).

“Apabila mengajar di sekolah kurang murid, aktiviti yang dilakukan agar terhad. Ini kerana ada kelas yang hanya mempunyai empat murid.

 

Maka sukar untuk melakukan aktiviti berskala besar.

“Selain itu, SOP juga perlu dijaga. Saya lihat murid di pedalaman amat menghargai usaha guru.

“Ketika melaksanakan PdPR, guru di pedalaman perlu melakukannya secara konvensional iaitu bahan kerja rumah dihantar kepada ibu bapa murid.

“Ada seorang ibu murid memaklumkan kepada saya, dalam banyak-banyak kerja rumah
yang diterima, anaknya akan menyiapkan kerja PSV terlebih dahulu kerana seronok melakukan kerja tersebut.

“Saya rasa tersentuh kerana ramai murid saya utamakan subjek PSV. Apabila mereka pulangkan kembali kerja itu, ramai yang berjaya menyiapkannya.

Namun ada juga yang tidak mampu kerana kekurangan bahan.

“Maka untuk kerja PSV seterusnya, saya akan hantar kerja rumah ini termasuk bahan yang diperlukan seperti berus dan cat warna air kepada mereka,” kongsinya.

Ujarnya lagi, kerja rumah akan diberikan secara modul cetakan ke rumah panjang murid.

“Bagi aktiviti yang memerlukan kemahiran mendengar skrip, guru akan meminta ahli keluarga membaca skrip ini supaya pelajar dapat menjawab soalan berdasarkan skrip.

“Pada masa yang sama, kami berharap ibu bapa juga dapat belajar menyebut ayat dalam bahasa Inggeris.

Mereka sama-sama belajar bahasa Inggeris,” ujarnya.

Sebagai guru Bahasa Inggeris, Ijan percaya penguasaan asas bahasa Inggeris murid kawasan pedalaman penting sebagai bekalan masa depan mereka.

“Saya tak minta pelajar saya menjadi pelajar di bandar dengan menyasarkan semua A. Sebagai guru Bahasa Inggeris, saya bersyukur jika mereka mampu dan berani bertutur dalam bahasa Inggeris di depan umum.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh membaca dan memahami tulisan seperti maklumat pada paket makanan, apa-apa tulisan yang mereka jumpa di pasar berkaitan bahasa Inggeris.

Ini sudah memadai. “Seperti juga meminta izin ke tandas menggunakan bahasa Inggeris.

Setidak-tidaknya mereka tahu dan berani berkomunikasi dalam bahasa ini.

“Ini kerana saya mahu mereka tidak mati akal apabila berada di bandar atau suasana baharu di dunia luar,” katanya lagi.

Ijan kagum dengan kegigihan pelajar di pedalaman dalam tempoh PdPR kerana ada yang sanggup menghubunginya melalui WhatsAap meskipun capaian Internet lemah.

Mereka masih mahu bertanyakan soalan serta perkataan yang tidak difahami.

“Oleh itu, saya menasihati mereka apabila ingin bertanya satu-satu perkataan, mereka boleh kepada merujuk ahli keluarga atau kamus.

Sebahagian mereka aktif bertanya.

Jelas mereka ada usaha untuk maju kerana berlaku sesi soal jawab antara murid dan guru,” jelasnya lagi.

Ijan percaya, murid di pedalaman perlu diberi peluang untuk mengumpul sebanyak mungkin sijil penyertaan dalam setiap pertandingan yang dianjurkan.

“Ketika mula-mula ingin murid saya menyertai pertandingan pantun dan perbahasan, saya akan senaraikan pertandingan yang boleh mereka sertai.

“Antara pertandingan pidato, menulis puisi, pengucapan awam dan sebagainya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu secara maya.

“Saya galak murid-murid saya menyertai pertandingan dengan kemahiran yang mereka minati, misalnya menyanyi. Ramai yang tampil mencuba. Kalah atau menang difikirkan kemudian.

“Saya juga hantar lebih ramai murid menyertai pertandingan anjuran Mosti melibatkan pertandingan mewarna bagi murid prasekolah dan sekolah rendah,” katanya.

Terkini, murid-muridnya turut terlibat dalam permainan Minecraft secara maya yang turut mendapat sokongan guru besar.

“Pertandingan seperti ini dapat membuka mata mereka untuk bersaing dengan murid-murid lain,” jelasnya lagi.

Walaupun akses Internet menjadi cabaran, Ijan cuba  mengurus bahan pembelajaran dari rumah dan mencari alternatif lain dengan memanfaatkan kemudahan terkini.

“Mujur peranti jalur lebar yang ibu saya gunakan dahulu dapat digunakan di sekolah ini dengan menggunakan kad sim Digi.

Saya bawa ke mana-mana sahaja termasuk dengan bank kuasa.

“Jadi saya letak peranti jalur lebar itu di sudut di bilik guru termasuk ketika memasuki kelas,” jelasnya.

Tidak menyesal mengajar di pedalaman Ketika menerima surat lantikan dan penempatan katanya, dia membayangkan akan menaiki bot dan berasa takut – ditambah pula dengan usikan rakan-rakan.

“Namun saya reda dengan keputusan itu dan buat apa-apa yang patut.

“Saya hubungi salah seorang guru di sekolah ini sehinggalah saya bertemu dengan guru besar yang mengambil saya di stesen bas Mukah.

“Sepanjang berkhidmat di sini, ia tidak seteruk mana,” katanya.

Jelasnya lagi, dia pernah tertinggal bot untuk pulang.

“Pasti akan ada penduduk rumah panjang yang sudi menghantar
saya.

Mereka tidak kedekut untuk membantu,” ujarnya.

Ijan menasihati guru yang akan ditugaskan di luar bandar supaya tidak memikirkan ia sebagai sukar, sebaliknya anggap ia sebagai satu cabaran.

“Cuba dulu. Cari cara untuk kita selesakan diri dengan keadaan di pedalaman. Insya-Allah apabila kita sudah selasa, kita dapat cari kegembiaran di sekolah tersebut.

“Ini akan menaikkan semangat kita dan menjadikan sekolah itu sebagai tempat untuk berbakti.

“Saya tidak menyesal bergelar sebagai guru apabila mendapati ada murid sudah mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris walaupun broken English dan lintang-pukang.

“Ia satu hadiah dan anugerah yang tidak mampu saya ungkapkan apabila melihat keberanian dan kesungguhan mereka,”ujarnya lagi.

Menghargai kekurangan

Kongsinya lagi, pengalamannya sebagai pelajar dahulu jelas amat berbeza dengan apa-apa yang dilalui oleh muridnya kini kerana latar belakang yang berbeza.

“Saya membesar di bandar, manakala mereka di pedalaman. Saya terdedah dengan pelbagai pembangunan tetapi mereka di pedalaman, lihat komputer riba pun susah apatah lagi Internet.

“Sebab itu ada masanya saya muat turun video berkaitan pembelajaran dari Internet untuk mereka.

Saya bagi peluang kepada mereka mengendalikan komputer riba saya.

Itu adalah keseronokan bagi mereka… mereka banyak bertanya mengenai fungsi teknologi.

“Saya juga meluangkan masa saya bersama-sama mereka dengan bermain bola tampar, badminton dan sebagainya.

“Ada masa saya pasang filem untuk tontonan hiburan mereka pada waktu lapang,” jelasnya lagi.

Nasihat kepada pelajar

“Ribuan terima kasih kerana mencalonkan saya sebagai Guru Inspirasi Mc Donalds.

Saya tidak tahu bagaimana saya memberi inspirasi kepada kamu, tetapi saya bersyukur kamu mendapat inspirasi daripada saya.

“Terima kasih juga kepada murid-murid yang lain sebab menghargai keberadaaan saya di sekolah dengan berdisiplin menyiapkan tugasan yang diberikan sewaktu PdPR.

“Belajarlah bersungguh sungguh. Jangan terikat dengan kekurangan yang ada, masih banyak lagi peluang dan cabaran yang bakal kamu hadapi… jangan berhenti belajar dan berusaha,” nasihatnya.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada warga SK Kuala Kenyana kerana terbuka menerima kehadirannya.

“Saya bersyukur dapat bekerjasama dengan semua kakitangan yang cukup baik dan dapat memberi kerjasama dalam apa-apa juga kerja.

“Terima kasih Guru Besar Yahya Ismail yang sentiasa memberi peluang untuk mencuba benda baharu, dan memberi saya peluang menyahut cabaran yang diberikan,” jelasnya yang percaya bapanya Noordan Pungut yang juga guru di luar bandar tetap menjadi inspirasi hidupnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak