Pastikan keluk jangkitan landai

KUCHING: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak adalah tepat pada masanya untuk memastikan keluk jangkitan dilandaikan walaupun ia memberi kesukaran kepada rakyat dan sektor perniagaan, kata Pembantu Publisiti Pemuda SUPP Cawangan Kuching, Eric Tay Tze Kok.

Menurutnya, kerajaan mengambil pengajaran daripada musim perayaan lalu berhubung peningkatan kes yang menyebabkan sistem kesihatan hampir lumpuh.

“Pasukan perubatan terpaksa bekerja lebih masa dan katil di unit rawatan rapi semakin berkurangan sekali gus pesakit baharu tidak dapat dimasukkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Eric menyeru orang ramai untuk memerangi wabak ini secara serius dan bersama agar ia dapat membuahkan hasil. Meskipun sukar, jelasnya, rakyat seharusnya memahami perkara ini harus diselesaikan sekarang daripada ia berlarutan.

Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat tambahnya, sememangnya mendatangkan ancaman kepada pembangunan ekonomi, tetapi sekiranya SOP ketat itu dapat menghentikan penularan virus, maka, ia wajar dilaksanakan.

Mengenai sejumlah RM1.4 bilion yang diumumkan oleh Kerajaan Sarawak dalam Bantuan Khas Sarawakku Sayang 6.0 (BKSS 6.0), Eric berkata, ia memberi kelegaan kepada ramai rakyat.

Namun katanya, terdapat beberapa kumpulan yang memerlukan bantuan kerajaan seperti pemilik kedai kopi, restoran, syarikat perancang majlis, pusat urut, sukan dan sebagainya. Jelas beliau, beberapa pemilik harus menghentikan pekerja, beroperasi tanpa pelanggan dan beberapa industri menghadapi masalah pekerja.

Justeru, Eric berharap pakej bantuan kerajaan juga harus melibatkan syarikat yang terkesan sejak penularan wabak ini. “Walaupun restoran dan kedai kopi dibenarkan beroperasi, mereka masih terkesan.

“Sejak arahan makan di restoran tidak dibenarkan, jumlah pelanggan menurun sekurangkurangnya 50 peratus atau lebih. “Dan malangnya, pemilik kedai kopi yang hanya menjual air yang lebih terkesan,” katanya sambil menambah, ramai yang telah menyuarakan masalah tersebut secara peribadi kepadanya.

Kilang, tambah Eric, teruk terjejas berikutan jumlah pekerja yang dibenarkan bekerja terpaksa dikurangkan. “Ini keadaan yang sukar untuk pemilik kilang, individu yang ditugaskan juga berbeza skop pekerjaan.

“Dengan kakitangan dikurangkan, pengeluaran juga berkurangan. “Pada masa yang sukar ini, ia bukan sekadar beban perbelanjaan peribadi, mata pencarian untuk keluarga juga terjejas.

“Justeru, majikan harus menggalas beban yang berat untuk memastikan syarikat mereka terus beroperasi,” tegasnya. Kata Eric lagi, majikan mesti tetap membayar gaji pekerja dan kerana mereka juga perlu membayar semula pinjaman.

Sejajar itu katanya, untuk mengelakkan lebih banyak syarikat berhadapan dengan bangkrap, semua rakyat harus bersama memerangi wabak ini secara serius.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak