Patuhi SOP, elak ngabang

SIBU: Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee bimbang sambutan Gawai Dayak tidak lama lagi berpotensi melonjakkan kes positif Covid-19 jika masyarakat mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan aktiviti ngabang dari rumah ke rumah.

Beliau menjelaskan, ini berikutan sebanyak 149 kes yang dicatat di Kuching, dengan lebih 95 peratus kes daripada jumlah itu adalah ahli keluarga yang melibatkan pergerakan semasa Aidilfitri lalu. Rentetan itu, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu tidak mahu perkara tersebut berlaku semasa Hari Gawai kelak.

Masyarakat jelasnya, harus mengambil pengajaran tersebut bagi mengelakkan aktiviti ngabang atau kunjungmengunjungi semasa perayaan. “Itu adalah isyarat awal kepada mereka yang meraikan Gawai supaya mematuhi SOP dan tidak melakukan aktiviti kunjungmengunjungi.

“Kita tidak mahu selepas Gawai nanti, berlaku lonjakan kes positif Covid-19 disebabkan amalan seperti itu. “SOP yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) jelas memaklumkan bahawa aktiviti kunjung-mengunjungi tidak dibenarkan pada Gawai ini,” tegasnya yang juga Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi.

Beliau berkata demikian dalam kemas kini perincian kes positif Covid-19 Daerah Sibu menerusi laman sosialnya.

Dr Annuar menggesa orang ramai supaya mengambil iktibar daripada apa-apa yang berlaku di Kuching iaitu seminggu selepas Aidilfitri.

Beliau menyifatkan lonjakan kes positif Covid-19 yang dicatatkan di negeri ini iaitu sebanyak 749 kes pada Sabtu kebanyakannya disebabkan aktiviti kunjung-mengunjungi semasa Aidilfitri lalu.

“Musim perayaan bakal tiba. Oleh itu saya mahu orang ramai berfikir sedalam-dalamnya kerana aktiviti sebegini boleh menyebabkan kes bertambah.

“Ini jelas sudah berlaku semasa Aidilfitri lalu disebabkan tidak mematuhi SOP. Saya khuatir sekiranya orang ramai masih lagi mengadakan kunjungmengunjungi pada Gawai kelak,” tegas Adun Nangka.

Dr Annuar memberitahu, sekiranya amalan itu terus diamal, keadaan mungkin bertambah parah kerana ia akan bertembung dengan kes-kes positif pada Aidilfitri lalu.

Ini tambahnya, akan memberi kesan kepada petugas hadapan di hospital yang dibebankan dengan menerima ramai pesakit Covid-19 disebabkan tidak mematuhi SOP.

“Kita tidak mahu ini berlaku. Jadi, tolonglah jangan kunjungmengunjungi pada Gawai kelak. “Semua kita mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing untuk memerangi wabak ini.

“Tiada guna lagi untuk kita saling menuding jari atau menyalahkan sesiapa. Semuanya perlu mempunyai kesedaran tinggi tentang hal ini,” tambahnya lagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak