Pembinaan jambatan Sungai Sarawak, Sejingkat bermula penghujung Mei ini

KUCHING: Projek pembinaan jambatan Sungai Sarawak, Sejingkat yang menelan kos RM370 juta dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Pembinaan projek jambatan ini akan merentasi jarak sepanjang 1.3 kilometer dan setinggi 26 meter dari paras air Sungai Sarawak.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang menghubungkan laluan Kuching-Samarahan Expressway, projek pembinaan jambatan tersebut akan memakan masa selama 48 bulan (empat tahun).

“Dengan peruntukan yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak, projek ini akan memudahkan dan mengurangkan masalah kesesakan di jalan utama menghubungkan Kota Samarahan dengan Kuching.

“Justeru itu, pembinaan projek jambatan Sungai Sarawak Sejingkat ini merupakan salah satu daripada tiga pakej projek yang dicadangkan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak projek Jambatan Sungai Sarawak, Sejingkat, di Jalan Tanjung Bako, semalam.

Mengulas mengenai tiga pakej bagi pembinaan projek tersebut, Julaihi mendedahkan bahawa pembinaan projek tersebut berbeza kerana merangkumi tiga pakej iaitu pakej D3A, D3B dan D3C.

Menurutnya, pakej D3A melibatkan pembinaan projek jambatan Sungai Sarawak, Sejingkat sahaja dan tidak termasuk jalan penghubung.

“Manakala bagi pakej D3B, ia akan melibatkan projek menaik taraf jalan Tanjung Bako sepanjang 9 km kepada standard R5 dan bagi pakej D3C pula, ia adalah pembinaan jalan baharu sepanjang 7 km dari Tanjong Bako menuju Jambatan Samarahan.

“Kesemua pakej tersebut akan menjadi Kuching-Samarahan Expressway yang kedua dan kami akan mendedahkan kesemua butiran (pakej projek terbabit) pada hari majlis pecah tanah nanti,” katanya.

Sementara itu, Julaihi yang juga Adun Sebuyau menjelaskan bahawa melalui projek ini, Sarawak juga akan dapat memenuhi projek pembangunan di kawasan pesisir pantai bagi negeri ini.

“Kita sangat serius kerana apa yang kita mahukan adalah jaringan jalan perhubungan yang mendapat pautan sepenuhnya sepanjang kawasan pesisir yang merupakan kawasan luar bandar atau pinggir bandar.

“Justeru itu, apa yang saya tekankan dalam projek ini adalah usaha dan kesungguhan sebenar Kerajaan Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Julaihi mendedahkan bahawa beliau menjangkakan majlis pecah tanah bagi Jambatan Sungai Sarawak Sejingkat akan dirasmikan oleh Abang Johari pada 22 Mei ini.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak