Petronas sumbang tiga mesin PCR kepada Pejabat Kesihatan Bintulu

BINTULU: PETRONAS, melalui anak syarikatnya, Kumpulan Syarikat Malaysia LNG dan PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd menyumbang RM520,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu(JPBBB) untuk kegunaan makmal Polymerase Chain Reaction (PCR) Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu.

Simbolik penyerahan replika cek disampaikan Pengurus Kanan (Perkhidmatan Teknikal) Malaysia LNG Sdn Bhd, Iskandariah Roslan Abdul Wahab kepada Residen Bahagian Bintulu merangkap pengerusi JPBBB, Jack Aman Luat di perkarangan Pejabat Residen di sini, semalam.

Sumbangan merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat Petronas bagi menampung pembelian tiga unit mesin PCR bagi kegunaan makmal baharu yang dibina April lalu.

Baru-baru ini, tiga anak syarikat PETRONAS iaitu Kumpulan Syarikat LNG Malaysia,  PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd telah secara kolektif  menyumbang masing-masing empat unit komputer riba kepada Pejabat Daerah Tatau dan Sebauh.

Komputer riba akan digunakan oleh petugas barisan hadapan untuk menjalankan  Program Imunisasi COVID-19 Daerah Sebauh, Bintulu bulan ini.

“Kami akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan sebagai sebahagian daripada komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat, terutamanya pada masa yang mencabar ini,” kata Iskandariah.

Ahli Parlimen Bintulu Parlimen Datuk Sri Tiong King Sing, Timbalan Pengarah Hospital Bintulu Dr Sivashunmugam Sangaran dan Pegawai Kesihatan Bintulu Dr Melvin Chung turut hadir.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak