PGA gagalkan cubaan seludup masuk lima Pati

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya menggagalkan cubaan tiga tekong warga tempatan menyeludup masuk lima pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negeri ini.

Komander PGA Briged Sarawak Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, kesemua mereka ditangkap dalam dua Operasi Benteng Covid-19 berasingan pada 23 dan 24 Mei lalu.

Katanya tangkapan pertama melibatkan lelaki warga tempatan yang membawa dua lelaki warga Indonesia, hasil penahanan kenderaan di Kampung Hulu, Jalan Kuching-Serian kira-kira 11 pagi.

“Siasatan awal mendapati Pati terbabit masuk ke Sarawak melalui jalan tikus di sekitar Kampung Mujat, Kampung Daha dan Tebedu yang kemudiannya diambil oleh suspek tempatan yang menunggu di sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala, Mancha berkata tangkapan kedua melibatkan dua lelaki tempatan dan tiga lelaki warga Indonesia, hasil penahanan ke atas sebuah kenderaan di bangunan pusat komersial Siburan kira-kira 2 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Pati terbabit masuk ke Sarawak melalui jalan tikus dan kemudian mereka diambil oleh suspek tempatan yang menunggu di bangunan pusat komersial Siburan.

Justeru, katanya kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Menurut Mancha, sepanjang Operasi Benteng Covid-19 bermula 1 Januari hingga 27 Mei tahun ini, PGA Briged Sarawak merekodkan 110 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 171 orang yang terdiri daripada 36 lelaki tempatan, 109 lelaki dan 26 wanita Indonesia.

Selain itu turut mengusir seramai 296 orang yang terdiri daripada 256 lelaki dan 40 wanita warga Indonesia.

“Berdasarkan situasi semasa, masih terdapat cubaan Pati dari negara jiran memasuki Sarawak menggunakan jalan tikus.

“Individu yang tidak bertanggungjawab juga masih cuba membawa masuk Pati ke Sarawak secara haram,” katanya.

Justeru, Mancha memohon kerjasama penduduk setempat yang tinggal di kawasan sempadan menyalurkan maklumat berkaitan kemasukan dan kebocoran Pati ke negeri ini kepada pihak berkuasa berhampiran.

Beliau juga berharap penduduk setempat tidak bersekongkol dengan individu tertentu yang menjalankan kegiatan penyeludupan Pati.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak