Polis Miri siasat rakaman pergaduhan pasar raya tular di media sosial

MIRI: Polis membuka kertas siasatan berhubung kes pergaduhan tular di media sosial melibatkan dua lelaki di pasar raya Miri, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, laporan polis diterima pihaknya selepas dua hari kejadian.

Menurutnya maklumat awal mendapati pergelutan berlaku selepas salah seorang pengawal keselamatan pasar raya itu bertindak menegur pelanggan tidak memakai pelitup muka.

“Pelanggan difahamkan tidak berpuas hati apabila ditegur mangsa menyebabkan berlaku pergelutan.

“Mangsa pada hari kejadian mengaku tidak membuat laporan polis kerana beliau dimaklumkan orang sekitar bahawa lelaki tersebut mempunyai gangguan mental dan tidak ingin memanjangkan isu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan kes dirujuk dengan Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, hasil rakaman orang awam di lokasi kejadian, tular pada Rabu lalu.

Jelas Sabri, polis menggesa orang ramai tidak mudah merakam dan menularkan video yang boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Selain itu ujarnya, insiden terbabit dapat dielak jika masyarakat sekitar membantu menenangkan keadaan mengelak kejadian berlarutan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak