Rezeki berganda kek lapis

KUCHING: Walaupun Aidilfitri tahun ini disambut secara sederhana dan tertutup, ia tidak menghalang masyarakat di Sarawak meneruskan tradisi menyediakan kek lapis sebagai juadah wajib.

Malah kek lapis Sarawak yang mempunyai pelbagai corak dan perisa ini sangat popular setiap kali musim perayaan, tidak kira Hari Raya, Hari Gawai, Tahun Baharu Cina mahupun Krismas.

Dengan Hari Gawai Dayak yang bakal disambut selang dua minggu selepas Hari Raya, sudah tentu ia bakal membawakan rezeki berganda kepada pengusaha kek lapis Sarawak.

Sejajar dengan peredaran zaman, kini ramai yang memilih untuk membeli kek lapis premium iaitu kek yang diperbuat daripada bahan-bahan berkualiti tinggi mentega jenama Golden Churn dan sebagainya.

Kek lapis premium ini mempunyai rasa dan tekstur berbeza daripada kek biasa lain yang ada di pasaran dan kos pembuatannya lebih mahal daripada biasa.

Suara Sarawak berkesempatan menemui salah seorang pengusaha kek lapis – Dahlily Kek Lapis Premium di premisnya di Satok.

Diusahakan Norma Dahli, 48, kek lapis premium ibu kepada lima anak ini berjaya menambat hati pelanggan setiap kali musim perayaan kerana menjanjikan kek yang diperbuat daripada bahan terbaik.

Menurut Norma, tempahan kek lapisnya mencatatkan peningkatan saban tahun walaupun ketika pandemik Covid-19.

“Pada Aidilfitri tahun lalu, tempahan sangat memberangsangkan, walaupun pada permulaannya saya risau mungkin tiada yang hendak membeli kek lapis berikutan penularan wabak.

“Tetapi saya tidak menyangka sambutan pada tahun ini lebih menggalakkan dengan tempahan kek lapis premium meningkat sehingga 30 ke 50 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Menghasilkan lebih 20 jenis kek lapis untuk Aidilfitri tahun ini, Norma mengakui pelanggan kini mementingkan nikmat rasa dan sanggup berbelanja lebih untuk membeli air tangannya.

“Sebenarnya saya mempunyai lebih 70 jenis kek lapis, tetapi saya tidak menjual semua kerana takut tidak menang tangan. Jadi saya memutuskan untuk menjual antara yang paling laris untuk pilihan pelanggan.

“Tempahan untuk tahun ini mungkin lebih 300 acuan kerana saya tidak mengira betul-betul jumlahnya kerana kek dibuat segar setiap kali terdapat tempahan.

“Semua kek bersaiz acuan (8 inci x 8 inci) dan ditawarkan dari harga bermula RM180 hingga RM220,” katanya sambil memberitahu kebanyakan pelanggan dari seluruh Sarawak, Semenanjung dan negara Brunei.

Mengimbas kembali sejarah penglibatan sebagai peniaga kek lapis sekitar lima tahun lalu, Norma sebelum ini merupakan suri rumah dan apabila anak-anaknya semakin besar, dia memutuskan untuk belajar membuat kek lapis secara dalam talian.

 

“Kebanyakan kek lapis di sini menggunakan resipi ciptaan saya sendiri kerana saya suka mencuba dan melakukan inovasi resipi moden yang akhirnya membawa hasil yang berbaloi.

“Prinsip saya dalam pembuatan kek adalah mahu pelanggan puas hati apabila menikmati kelazatan kek hasil tangan saya dan kemudian mereka akan kembali semula,” tambahnya.

Menurutnya, dia bermula dari rumah hingga berjaya membuka premis sendiri awal tahun ini dan antara cabaran dalam perniagaan kek lapis adalah kekurangan tenaga kerja bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Seperti kita tahu, pembuatannya memerlukan kemahiran tertentu, kesabaran dan ketelitian bagi menjamin rasa dan kualiti kek adalah sama.

Sudah tentu memerlukan bantuan daripada pekerja yang betul-betul berminat.

“Selain itu, cabaran ketika mula-mula memperkenalkan kek lapis premium.

Banyak pihak yang mempersoal kenapa kek ini mahal daripada biasa, apa yang premiumnya?

“Tetapi saya bersyukur apabila kini ia semakin mendapat tempat di hati peminat kek lapis dan tempahan sentiasa ada sehingga tidak menang tangan,” tambahnya.

Norma memberitahu, dia mempunyai perancangan besar untuk mengembangkan perniagaannya pada masa hadapan dengan memiliki kilang sendiri dan seterusnya menjual ke luar negara.

Bagi yang berminat, boleh pergi ke kedainya di Jalan Satok atau membuat tempahan melalui Facebook Dahlily Kek Lapis Premium.

Kek lapis Sarawak adalah kek masyarakat Melayu di negeri ini yang dimasak berselang-seli setiap lapisan dengan warna dan corak yang unik serta mempunyai pelbagai perisa.

Kini ia semakin diminati masyarakat seluruh Malaysia sehingga turut menjadi hidangan wajib semasa musim perayaan dan buah tangan wajib setiap kali berkunjung ke Bumi Kenyalang.

Berdasarkan sejarah tempatan, ia telah dibuat sejak zaman nenek moyang lagi sebagai bekalan apabila mereka berhari-harian memburu di hutan. Tambahan pula, kek lapis ini dapat disimpan selama beberapa minggu malah sehingga berbulan-bulan jika disimpan di dalam peti sejuk.

Kedatangan orang Barat pada awal 1800-an memberi inspirasi dan inovasi kepada masyarakat Sarawak serta membuka ruang kepada bahan-bahan seperti perasa dan pewarna untuk menghasilkan kek lapis yang mempunyai pelbagai corak dan warna.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak