Rumah panjang dua tingkat di Jalan Kemena, Bintulu, musnah dalam kebakaran petang tadi

BINTULU: Sebuah rumah panjang dua tingkat jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di Jalan Kemena di sini, petang tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran membabitkan Rumah Rentap Tubau, kira-kira jam 2.50 petang itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi yang terletak 100 kilometer dari Bintulu sejurus menerima panggilan kecemasan pada 2.59 petang.

“Bomba tiba di lokasi pada jam 4.02 petang sebelum melakukan kerja-kerja pemadaman susulan.

“Kebakaran rumah panjang 12 pintu itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 100 kaki kali 50 kaki,” katanya dalam satu kenyataan.

Jurucakap itu berkata, rumah panjang terbabit terbakar keseluruhannya namun semua penghuninya terselamat.

Pada masa yang sama katanya, kawasan itu tidak mempunyai rangkaian telekomunikasi yang baik.

“Bomba juga menghadapi masalah apabila tidak ada sumber air di lokasi kejadian. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada 4.43 petang.

“Kita melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca dan kerugian akibat kejadian ini,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak