Sambut dengan keluarga sahaja

BALINGIAN: Adun Balingian Abdul Yakub Arbi menasihati penduduk yang bakal menyambut Hari Gawai Dayak kali ini agar sebaik-baiknya meluangkan masa yang ada bersama-sama keluarga sendiri.

Jelasnya, beliau mahu semua penduduk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Hal ini kerana pandemik ini terlalu berbahaya, lebih-lebih lagi kluster terkini yang wujud tidak menunjukkan apa-apa gejala dan simptom ke atas individu yang dijangkiti,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua penduduk khasnya yang berbangsa Iban di kawasannya agar tidak perlu mengadakan acara ngabang (berkunjung) Hari Gawai pada kali ini.

“Paling penting amalkan kuarantin kendiri serta kekal di rumah, amalkan gaya hidup sihat bersama-sama keluarga dalam lingkungan kawasan rumah sendiri,” tegasnya lagi.

Berdasarkan statistik, sehingga kini dianggarkan 40 peratus penduduk berbangsa Iban mendiami kawasan Daerah Kecil Balingian dan 31 peratus mereka merupakan pengundi berdaftar.

Sekali lagi sambutan Hari Gawai Dayak diraikan mengikut norma baharu dalam tempoh pandemik Covid-19.

Terdahulu, pada Isnin Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengeluarkan SOP terbaharu berhubung sambutan Hari Gawai Dayak pada kali ini.

Kenyataan yang dikeluarkan berhubung kebenaran hanya 10 individu boleh menghadiri upacara miring sewaktu Hari Gawai diraikan untuk satu-satu tempat dan segala SOP yang ditetapkan perlu
dipatuhi.

Malah pihak JKKK juga disaran untuk memantau dan memastikan SOP di kampung dan rumah panjang dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan penularan Covid-19.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak