Sarawak belanjakan RM1.4 bilion untuk BKSS 6.0

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.4 bilion dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 6.0 (BKSS 6.0) dalam usaha membantu meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk negeri ini ketika melalui waktu yang sukar.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa memikirkan langkah-langkah yang terbaik dalam melaksanakan inisiatif bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Berdasarkan trend kes-kes harian Covid-19 yang semakin meningkat di Sarawak, kita telah memutuskan untuk mengambil langkah-langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak pandemik berkenaan dalam masyarakat dan menghalang penularan kes secara mendadak.

“Langkah-langkah berkenaan telah diumumkan oleh Pengerusi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 29 Mei hingga 11 Jun – yang sudah tentu akan memberi kesan kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai BKSS 6.0 yang bertemakan meringankan beban rakyat di sini hari ini.

Tambah Abang Johari, bagaimanapun, Kerajaan Sarawak mengambil tindakan yang sukar ini demi menjaga keselamatan, kesihatan dan nyawa kita semua.

“Kerajaan Sarawak yang prihatin sebelum ini telah melaksanakan lima Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang bernilai lebih daripada RM3.1 bilion telah mengurangkan beban rakyat.

“Hari ini saya mengumumkan Pakej BKSS 6.0 yang merangkumi 15 langkah yang telah diputuskan oleh Kerajaan Sarawak bagi meneruskan kelangsungan bantuan yang amat diperlukan rakyat akibat langkah PKP dan PKPB,” jelasnya.

Jelasnya, ia merangkumi sembilan langkah pembayaran tunai dan enam langkah pemberian diskaun.

“BKSS 6.0 adalah kesinambungan BKSS 5.0 yang kini sedang dilaksanakan,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak