Satu kluster baharu, empat tamat

KUCHING: Satu lagi kluster baharu diisytiharkan di Sarawak hari ini iaitu Kluster Jalan Simpang Tiga, Kuching.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), ia merupakan kluster tempat kerja melibatkan sebuah pusat membeli belah di Kenyalang Park di sini.

“Sejumlah 44 individu telah disaring dengan 14 kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, manakala 30 lagi negatif.

“Pengesanan kes melibatkan kluster ini masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

JPBNS memberitahu Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan empat kluster tamat hari ini setelah tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari lalu.

“Ia adalah Kluster Bulatan Aman, Sibu; Kluster Kampung Binyu, Kuching; Kluster Jalan Puncak Borneo, Kuching dan Kluster Jalan Bintulu-Sibu, Tatau.

“Sementara jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 80 dengan 11 daripadanya merekodkan 51 penambahan kes, manakala 69 kluster tiada kes baharu,” jelasnya.

JPBNS turut memaklumkan daerah Bau telah kembali ke status jingga dari status merah, menjadikan jumlah zon merah di Sarawak menurun kepada 24 daerah.

“Manakala sejumlah dua daerah berstatus jingga, 10 daerah kekal kuning dan empat lagi daerah berstatus hijau iaitu Marudi, Asajaya, Telang Usan dan Kabong,” tambahnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak