Satu kluster baharu, satu tamat dan 84 masih aktif

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan satu kluster baharu hari ini melibatkan kluster tempat kerja di Kota Samarahan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan berkata, Kluster Jalan Endap, Kota Samarahan dikesan melibatkan sebuah kilang kelapa sawit di Jalan Endap, Kota Samarahan.

Kata JPBN, 29 kes termasuk kes indeks telah dikesan positif Covid-19 hasil saringan sejumlah 48 individu.

“Sebanyak 10 kes didapati negatif dan sembilan kes masih menunggu keputusan makmal.

“Kesemua kes positif ini telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS), Hospital Serian dan telah dimasukkan ke PKRC Daerah Kuching dan Serian untuk pengasingan dan rawatan lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, jawatankuasa itu memberitahu, JKNS telah mengisytiharkan kluster Tembok Sri Aman tamat hari ini.

Manakala katanya, jumlah kluster yang masih aktif di negeri ini adalah sebanyak 84 kluster.

Tambah JPBN, sebanyak enam kluster telah merekodkan 32 penambahan kes baharu manakala 78 kluster tidak merekodkan penambahan kes.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak