Saya tidak akan abaikan pembangunan rumah panjang – Tiong Sii

SARIKEI: Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii memberi jaminan tidak akan mengabaikan pembangunan rumah panjang dan kampung demi kesejahteraan rakyat di kawasannya.

Tiong Sii berkata, usaha membangunkan kawasan itu tetap menjadi keutamaan malah menjadi agenda penting yang sering diketengahkan dalam persidangan Dun.

Sehubungan itu beliau meminta penduduk terus memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada kerajaan supaya agenda pembangunan dapat diteruskan.

“Peruntukan akan terus disalurkan untuk membangunkan rumah panjang di kawasan Dun Repok. Ini merupakan salah satu bukti keprihatinan kerajaan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan,” katanya ketika mengagihkan bantuan Projek Rumah Panjang di Dun Repok, pada Ahad.

Beliau berkata, sumbangan berterusan itu membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak membela nasib rakyat di kawasan berkenaan.

Sebahagian besar peruntukan itu katanya, diguna untuk melaksanakan projek infrastruktur awam termasuk jalan, jeti, dewan dan lain-lain lagi. “Ini juga menunjukkan rakyat di Dun Repok tidak pernah diabaikan. Mereka bukan sahaja terbela malah setiap permasalahan penduduk di sini sentiasa mendapat perhatian kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Tiong Sii mengingatkan penduduk agar jangan terpengaruh dengan hasutan luar dan janji palsu pihak pembangkang, sebaliknya terus bersatu menjaga hak Sarawak yang sedia ada.

Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) katanya, akan melakukan yang terbaik dan mengambil langkah mendekati rakyat secara menyeluruh. Saya mewakili seluruh rakyat di Repok berterima kasih dengan projek seperti pembinaan jalan ke Tanjung Manis, pembinaan jalan di luar bandar dan sekolah, projek yang menggalakkan pembangunan industri pertanian di Sarikei.

“Ini menunjukkan yang kita mempunyai seorang Ketua Menteri yang cukup prihatin dengan keperluan rakyat, di seluruh Sarawak,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengingatkan penduduk rumah panjang agar sentiasa menjaga kesihatan diri, kebersihan dan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP).

“Pemakaian pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal serta mengamalkan norma baharu amat penting dalam memutuskan penularan rantaian Covid-19,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak