Suami isteri ditangkap disyaki terlibat dengan pengedaran dadah

KUCHING: Sepasang suami isteri ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata pasangan berusia 24 dan 21 tahun itu ditahan di dalam bilik sebuah rumah di Skim Penempatan Baru, Jalan Stutong di sini kira-kira jam 11 pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek lelaki telah menjumpai dadah di dalam beg yang dipegangnya iaitu sembilan paket syabu seberat 5.28 gram yang dianggarkan bernilai RM528,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya hasil siasatan awal, suspek memperolehi dadah secara bank-in dari seorang pengedar di sekitar Kuching. “Tindakan selanjutnya sedang dilakukan untuk mengesan pengedar tersebut,” katanya.

Merbin menambah hasil saringan air kencing juga mendapati suspek positif Methamphetamine manakala isterinya negatif.

Katanya suspek yang mula terlibat dengan pengedaran dadah sejak akhir tahun 2019 juga mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata suami isteri terbabit kini ditahan untuk siasatan dan mendapat perintah reman selama empat hari bermula 19 hingga 22 Mei ini.

Merbin berkata kes disiasat di bawah Sek. 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan sabit kesalahan boleh di penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan tidak kurang daripada tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan.

Suara Sarawak