Terima kasih bawa kami balik kampung

KUALA LUMPUR: Kumpulan terakhir 35 pelajar matrikulasi Sarawak di Semenanjung pulang dengan menaiki pesawat MH2742 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bintulu pada jam 8.25 pagi hari kedua Aidilfitri, Jumaat lalu.

Mereka terdiri daripada 14 pelajar matrikulasi di Selangor; Negeri Sembilan (12) ; Melaka (3) ; Perak (3) ; Johor (2) dan Pulau Pinang (1). Bagi pelajar Iban, Louisa Geranting, 19, kepulangan pada hari kedua Aidilfitri memberi peluang kepadanya meraikan Hari Gawai bersama-sama keluarga pada 1 dan 2 Jun kelak.

“Jika semuanya berjalan lancar dengan kami mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), termasuk menjalani kuarantin wajib 14 hari, kami akan dapat pulang ke pangkuan keluarga menjelang Gawai Dayak,” katanya ketika ditemui di KLIA.

Louisa, anak sulung daripada tiga adik-beradik dari Sungai Plan, Bintulu menuntut di Kolej Matrikulasi Melaka. Perasaan terharu dapat pulang menjelang Gawai yang akan diraikan tidak lama lagi turut dikongsikan rakan sekampungnya Concessa Kuek Augustine, 19, berketurunan Bidayuh.

“Walaupun Gawai akan diraikan dalam keadaan norma baharu, namun sekurangkurangnya kami dapat kembali ke pangkuan keluarga tersayang,” kata anak kedua daripada dua adik-beradik itu.

Menurut Concessa yang juga menuntut di Melaka, pada mulanya mereka menjangka terkandas di Semenanjung sehingga lepas Gawai memandangkan keadaan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Namun pihak kolej, Kementerian Pendidikan, dengan kerjasama Rumah Sarawak di Kuala Lumpur, Sarawak Volunteers, SDMC dan MAS telah mengurus dan mempermudahkan kepulangan mereka.

Pelajar tunggal Sarawak yang menuntut di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Joseph Nyangau, 19, turut menganggap kepulangan pada hari kedua Syawal sebagai hadiah Gawai. Berasal dari Rumah Jiram , Bintulu, anak ketiga daripada enam beradik berketurunan Iban ini berkata, dapat bersamasama keluarga di Hari Gawai biarpun diraikan dalam norma baharu, amat besar maknanya kepadanya.

Mohd Ikmal Mohd Safuan, 19, dari Kidurong, Bintulu, yang menuntut di Kolej Matrikulasi Johor turut berterima kasih kepada Rumah Sarawak di KL dan Sarawak Volunteers yang menyediakan makanan dan menjaga kebajikan pelajar Sarawak di Semenanjung.

“Terima kasih juga kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (Matrikulasi), SDMC dan MAS,” kata anak kedua daripada lima beradik itu. Pengarah Rumah Sarawak di Kuala Lumpur, Awang Supian Awang Daud, menghantar pulang pelajar-pelajar berkenaan dan pasukan dari Rumah Sarawak turut mengagihkan makanan dan minuman kepada mereka, sebelum menaiki pesawat dari KLIA ke Bintulu.

Keseluruhannya seramai 952 Pelajar Matrikulasi Sarawak di Semenanjung dan di Labuan diterbangkan pulang ke Sarawak antara 11 hingga 14 Mei lalu dengan penerbangan Jumaat melibatkan kumpulan terakhir.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak