Tiga lelaki ditahan kerana memiliki dadah, dalam dua tangkapan berasingan

KUCHING: Tiga lelaki ditahan dalam dua tangkapan berasingan yang di buat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kerana disyaki menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata tangkapan pertama ke atas seorang lelaki berusia 28 tahun di tepi jalan Suadi Haji Arshid 1, di sini kira-kira jam 11 malam semalam.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai dadah jenis Methamphetamine seberat 58.93 gram yang dianggarkan bernilai RM5,893,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati suspek memperolehi dadah secara bank-in daripada seorang pengedar di sekitar Kuching dan pihaknya kini sedang mengesan pengedar terbabit.

Dalam pada itu, Merbin berkata suspek yang mula terlibat dengan pengedaran dadah sejak akhir tahun 2018 juga didapati positif Methamphetamine, dan mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya suspek kini di reman selama tujuh hari sehingga 27 Mei ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman gantung mandatori sampai mati.

Sementara, Merbin berkata dua lagi suspek berusia 25 dan 42 tahun ditangkap di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta hadapan bangunan Queen Court, Jalan Wan Alwi.

Katanya hasil pemeriksaan ke atas suspek berumur 42 tahun menjumpai 32.52 gram Methamphetamine dianggarkan bernilai RM3,252.

Justeru, beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan sabit kesalahan boleh di penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun penjara dan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan.

Manakala, Merbin berkata pemeriksaan ke atas suspek berusia 25 tahun menjumpai 6.42 gram Methamphetamine dianggarkan bernilai RM642.

“Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek memperolehi dadah secara bank-in daripada seorang pengedar di sekitar Kuching.

“Tindakan selanjutnya sedang dilakukan untuk mengesan pengedar tersebut,” katanya sambil menambah kedua-dua suspek mula terlibat dengan pengedaran dadah sejak pertengahan tahun 2019.

Katanya kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 27 Mei ini.

Suara Sarawak