Tindakan pantas bomba selamatkan premis peralatan pertanian

SARIKEI: Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan sebuah premis peralatan pertanian daripada musnah dalam satu kebakaran di Jalan Nanas di sini, awal pagi tadi.

Insiden dilaporkan berlaku kira-kira 1.50 pagi itu hanya melibatkan stor penyimpanan baja di dalam premis berkenaan.

Ketua Balai dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, pasukannya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.54 pagi.

“Kita terpaksa membuka pintu hadapan premis itu sebelum berjaya masuk ke dalamnya untuk melakukan pemadaman. Selepas masuk ke dalamnya, kami mendapati api sudah marak namun sempat dikawal sebelum berjaya dipadamkan.

“Sejurus selesai operasi, kita melakukan pemeriksaan susulan bagi memastikan kawasan kejadian benar-benar selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kebakaran hanya melibatkan lima peratus baja yang disimpan dalam ruangan terbabit dan tidak melibatkan struktur bangunan.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu manakala, punca kejadian masih dalam siasatan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak