Tolonglah, kami kepenatan!

KUCHING: “Andai nyawa ini diambil Tuhan, andai nafas ini terhenti kerana dijangkiti, saya puas kerana sudah berjuang bersama-sama rakan yang lain di barisan hadapan.

“Kami pertaruhkan nyawa demi perjuangan ini. Malah 12 tahun bertugas sebagai kakitangan kesihatan, 2021 adalah tahun yang sangat mencabar.

“Sejak Covid-19 melanda tahun lepas, kaunter saringan, pengurusan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), kes kematian dan sebagainya, semuanya saya lalui.

Tidak pernah saya rasa seteruk ini.”

Demikian antara luahan petugas barisan hadapan anak jati Sarawak – Mohammad Nawi Mohamad Talib, 37, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di Pejabat Kesihatan Segamat, Johor.

Pengalaman hariannya yang dikongsi kepada Suara Sarawak jelas begitu sayu dan menghibakan – petugas barisan hadapan perlu melihat 1,001 kerenah manusia yang degil dan alpa bagaikan kebal atau kalis virus Covid-19.

Dua tahun dia tidak dapat pulang ke Kampung Gersik, Kuching untuk menjenguk, memeluk dan mencium tangan ibu dan bapanya.

“Sumpah, saya rindu semua itu. Ini adalah salah satu tekanan perasaan yang saya tanggung tetapi atas arahan yang dikuatkuasakan, saya akur,” jelas anak ketiga daripada lima adik beradik ini.

Nawi menceritakan pengalaman sayunya apabila tidak dapat menahan air mata ketika menyaksikan sendiri Covid-19 meragut nyawa mangsa.

Pertemuan terakhir ahli keluarga mangsa hanyalah melalui telefon pintar termasuk melihat ahli keluarga (mangsa) dimasukkan ke dalam liang lahad dari jauh.

“Paling sedih ketika pesakit Covid-19 meninggal dunia. Ada ahli keluarga hanya mampu menatap gambar di telefon pintar dan tidak dibenarkan mengiringi mereka ke tanah perkuburan,” jelasnya.

Berdasarkan kisah mangsa Covid-19 sebelum ini katanya, kesemua ahli keluarga mangsa dikuarantin dan memakai gelang kuarantin disebabkan bapa mereka positif Covid-19 – jangkitan daripada anak sulung yang balik dari zon merah.

“Tiada seorang pun ahli keluarga dibenar mengiringi jenazah dari bilik mayat hingga ke liang lahad.

Seorang waris mangsa (anak bongsu) kebetulan dari Johor Bharu tidak dikuarantin dan mendapat kelulusan rentas negeri untuk menjenguk bapanya.

“Kami berikan kelengkapan PPE kepadanya selepas petugas menjalankan prosedur lengkap pengebumian jenazah.

“Luluh hati saya melihat waris meminta ampun dan maaf kepada arwah bapanya sebab tidak dapat menjaga sepanjang arwah sakit kerana PKP pada masa itu.

“Anak bongsunya bersujud sambil mencium tanah tapak pengebumian bapanya berulang-ulang kali sambil menangis tersesak-esak,” jelasnya.

Ketika dihubungi Suara Sarawak melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini, Nawi bercerita, tempoh bekerja kini tidak menentu disebabkan tugasan berjadual dan bertindih setiap hari kerana kekangan petugas.
Kami keletihan “Pesakit Covid-19 terlalu banyak sejak kebelakangan ini, namun kakitangan sedia ada tidak mencukupi,” katanya.

Bukan sahaja berdepan dengan pesakit yang enggan berlaku jujur, barisan hadapan juga terpaksa berpanas ketika memakai sut PPE berjam-jam semata-mata menjalankan tugas dan amanah. “Ia betul-betul menguji fizikal dan mental kami lebih-lebih lagi keadaan cuaca yang sangat panas, berpanas di bawah khemah, menahan lapar dan dahaga kerana kami tidak digalak makan dan minum dalam keadaan sepenuhnya menggunakan PPE,” katanya.

Tambahnya lagi, pada 6 Januari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberikan amaran bahawa sistem kesihatan sedang bergelut menampung jumlah pesakit kini sudah berada di titik gagal.

“Perkara yang ditakuti sekarang adalah barisan hadapan mula keletihan melampau dan tertekan kerana ada yang mula kepenatan dan mula hilang semangat.

“Kami semua sangat risau apabila ada petugas barisan paling hadapan dan paling penting ini tumbang secara tiba-tiba,” jelasnya.

Nawi mengakui dia turut keletihan, penat melampau, lesu dan berat badan susut mendadak.

“Tekanan emosi, fizikal dan mental kadang-kadang mempengaruhi semangat untuk bekerja di lapangan. Tetapi itu lumrah, kami hadapi dengan reda dan ikhlas.

“Setiap hari tugasan kami adalah sama dan bertambah dengan tenaga petugas yang sama dan begitu minimum.

Mereka yang penat terpaksa direhatkan, ada yang sakit dan terpaksa bercuti membuatkan kami sedikit tertekan dengan apa-apa yang dihadapi,” kongsinya lagi.

Kata Nawi lagi, “Ingatlah, wabak Covid-19 tidak mengenal siapa anda. Jagalah diri, lindungi keluarga,” ujarnya lagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak