Transit di tengah laut seludup rokok

KUCHING: Transit di tengah laut, melalui pelabuhan dan jeti persendirian di sepanjang sungai antara modus operandi yang dikesan digunakan sindiket penyeludupan kontraban di Sarawak.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, antara kontraban yang mendapat permintaan tinggi ialah rokok dan minuman keras khususnya oleh kedai runcit dalam kampung.

“Memang ada penglibatan sindiket kerana perkara ini (penyeludupan kontraban) lama berlaku di Sarawak termasuklah negeri lain. “Mereka punya modus operandi semuanya melalui laluan laut,” katanya pada sidang media di sini, pada Rabu.

Menurutnya, sejak Ops Kontraban dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), beberapa siri tangkapan berjaya dilakukan di bawah Akta Kastam.

Shamsol berkata berdasarkan statistik dalam sepanjang tahun lepas, sebanyak 50 kes tangkapan di bawah Akta Kastam berjaya dilakukan oleh PPM. “Kalau dibandingkan dalam tempoh 1 Januari hingga 18 Mei 2020, sebanyak 27 kes tangkapan berjaya dilakukan dan 20 kes dalam tempoh sama tahun ini.

“Kes terbesar pada Mac tahun ini iaitu rampasan rokok dan minuman keras yang bernilai kirakira RM42 juta. “Kes ini masih dalam siasatan oleh ibu pejabat Bukit Aman untuk dikaitkan dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pasukan khas di bawah Ops Kontraban telah dibentuk bagi membanteras serta memberkas dalang yang menjalankan sindiket ini.

“Kami masih lagi menjalankan siasatan dan membangunkan risikan untuk melihat aliran daripada pelabuhan di Sibu, Miri dan Bintulu. “Kami juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam untuk melihat perkara ini supaya kolaborasi agensi dapat direalisasikan untuk membanteras kegiatan kontraban ini di Sarawak,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak