UNIFOR: Sambutan Gawai dan pra-Gawai untuk ahli keluarga terdekat sahaja

KUCHING: Sambutan Hari Gawai untuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hanya dibenarkan satu hari sahaja iaitu pada 1 Jun 2021.

Menurut garis panduan (SOP) yang dikeluarkan secara rasmi hari ini, aktiviti ‘ngabang’ (ziarah) di kawasan PKPB tidak dibenarkan dan sambutan Hari Gawai hanya dibenarkan untuk keluarga serumah.

Selain itu, sekiranya sambutan berlangsung di rumah panjang ia hanya dibenarkan untuk keluarga sebilik, di bilik masing-masing dan perkara ini juga dikuatkuasakan untuk kawasan PKPD.

“Untuk sambutan pra-Gawai pada 31 Mei 2021, kawasan PKPD dan PKPB dibenarkan tetapi ia juga perlu dihadkan dengan keluarga sebilik, di bilik masing-masing sahaja,” katanya.

Terdahulu, SOP ini telah dikeluarkan secara rasmi oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (Unifor) dan Majlis Adat Istiadat Sarawak (Mais).

Sehubungan itu, upacara Miring tidak dibenarkan untuk kawasan PKPD.

Bagaimanapun, katanya bagi kawasan PKPB upacara Miring dan penghantaran piring ke Tiang Pengingat serta aktiviti Tiang Pengingat dibenarkan dengan mengehadkan sebanyak 20 orang tetamu sahaja.

“Justeru, upacara Miring hendaklah diadakan di satu tempat atau ‘ruai’ yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Individu yang mempunyai gejala batuk atau selsema adalah dilarang untuk mengikuti upacara tersebut,” jelasnya.

Menerusi kenyataan SOP itu juga, aktiviti balik kampung atau merentas zon, majlis perkahwinan, pertunangan, kesyukuran (makan selamat), ritual memandikan anak di sungai, sabung ayam sukaneka dan lain-lain aktiviti sosial adalah tidak dibenarkan.

“Pihak JKKK adalah dikehendaki untuk memantau dan memastikan pematuhan SOP di kampung atau rumah panjang semasa sambutan Gawai” tegasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak