265,000 penumpang terbang ke Mukah

SIBU: Hasrat penduduk Mukah untuk melihat kemajuan berterusan di bandar nelayan itu bakal tertunai apabila lapangan terbang baharu yang dibina pada 2017 beroperasi secara rasmi hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pendaratan pertama menyaksikan pesawat MASwings MH3553 DHC6 Vikings dari Miri
pada 9.10 pagi dan penerbangan pertama MH3412 ke Kuching pada 9.30 pagi.

“Projek pembinaan lapangan terbang tersebut di lokasi baharu tujuh kilometer dari pusat bandar Mukah, dimulakan sejak 11 Ogos 2017 menggantikan landasan pendek atau STOLport Mukah dengan kapasiti baharu iaitu 265,000 penumpang setahun,” katanya.

Menurutnya, lapangan terbang itu antara lainnya dilengkapi bangunan terminal seluas 3,125 meter persegi, landasan sepanjang 1,500 meter dan lebar 30 meter, sistem pemantauan angin dan jarak penglihatan landasan, sistem navigasi radio dan sistem pencahayaan pendekatan sederhana.

“Lapangan Terbang Mukah baharu direka bentuk untuk memberikan keselesaan dan menepati kehendak rakyat Mukah menggunakan perkhidmatan udara luar bandar yang menjadi nadi kepada pergerakan penumpang dan barangan di kawasan terbabit,” katanya.

Wee berkata, lapangan terbang baharu ini akan menyokong pembangunan di bawah Koridor Tenaga
Diperbaharui Sarawak (Score) dengan memudahkan pergerakan sektor perdagangan dan eksport produk tempatan di daerah Mukah.

“Pembangunannya juga akan menyokong pembangunan daerah itu sebagai hab pendidikan, pusat penyelidikan serta aktiviti di Taman Perindustrian Matadeng,” katanya. – Bernama


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak