KUCHING: Seorang lelaki tempatan ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) setelah didapati membawa dadah jenis Ekstasi dan Ketamin dianggarkan bernilai RM10,600 di Jalan Lapangan Terbang Kuching, semalam.
Cubaan suspek melepasi Sekatan Jalan Raya (SJR) gagal apabila keretanya ditahan oleh pasukan operasi sekitar jam 5.45 petang.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pertugas menemui kotak berisi bungkusan dadah disyaki disembunyikan di bawah kerusi tempat duduk memandu.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah yang mengesahkan kejadian berkata suspek berusia 27 tahun ditahan untuk tindakan siasatan lanjut.
“Bungkusan kotak mengandungi Ekstasi berjumlah 1.1 kilogram dan Ketamin 15 gram yang dianggarkan bernilai RM10,600.
“Suspek turut disahkan positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

