3,100 bakul makanan BKKS 6.0 telah diagihkan di Dun Satok

KUCHING: Sejumlah 3,100 bakul makanan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKKS) 6.0 telah diagihkan kepada isi rumah di Dun Satok.

Timbalan Pengerusi PBB Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata agihan bakul makanan tersebut telah bermula pada Sabtu lalu melibatkan 16 kawasan.

Jelas Ibrahim, bakul makanan tersebut diagihkan kepada golongan memerlukan yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan.

“Hari ini, sejumlah 676 bakul makanan akan diagihkan kepada komuniti Cina di Jalan Kulas, Jalan Rubber dan Jalan Nanas.

“Pagi tadi, kita juga agihkan bakul makanan ke dua tempat iaitu Kampung Muhibbah dan Kampung Kudei Ulu, agihan bakul makanan juga diadakan serentak di Kampung Sungai Maong dan Kampung Segedup,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan bakul makanan kepada komuniti Cina di Pusat Khidmat Dun Satok, di sini hari ini.

Ibrahim berkata Exco PBB Dun Satok juga bekerjasama dengan NGO, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan pengagihan bakul makanan berjalan dengan lancar.

Beliau memberitahu, kerjasama tersebut adalah penting untuk memastikan tiada golongan memerlukan menerima bantuan tersebut.

“Agihan dilakukan dari pintu ke pintu. Kami prihatin dan mengambil berat akan komuniti.

“Kami juga memberi bantuan kepada mereka yang tidak tersenarai namun telah membuat permohonan. Kami mahu memastikan agar tiada satu yang tercicir,” ujarnya.

Sementara, Kapitan Tan Kok Chiang yang bertanggungjawab terhadap komuniti Cina di Satok menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan terutama semasa pandemik Covid-19.

Kok Chiang berkata bantuan bakul makanan tersebut yang dijangka diagihkan dalam tempoh masa dua hari akan dihargai oleh penerima.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak