16 pesawat China ceroboh:  Kerajaan Sarawak sokong  ketegasan Kerajaan Persekutuan

KUCHING: Kerajaan Sarawak melahirkan kebimbangan mengenai pencerobohan 16 pesawat milik Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Malaysia di Zon Maritim Malaysia (MMZ).

Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan semalam memberitahu, kejadian tersebut berlaku di atas “Luconia Shoals” yang terletak berhampiran 110km di pantai pesisir Sarawak.

“Justeru, Kerajaan Sarawak menyokong dengan langkah-langkah ketegasan yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan termasuk memanggil Duta Besar Republik Rakyat China untuk memberi penjelasan mengenai pencerobohan terbabit,” jelasnya.

Tambah Pejabat Ketua Menteri, adalah wajar bahawa tindakan serius diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kejadian tersebut tidak berulang pada masa akan datang.

“Ia adalah untuk melindungi dan menegakkan kedaulatan, martabat dan integriti negara,” ujarnya.

Selasa lalu, sebanyak 16 buah pesawat PLAAF dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) tanpa kebenaran.

Penerbangan mencurigakan itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada Pusat Pertahanan Udara Sarawak pada jam 11.53 pagi.

Jurucakap Bahagian Perhubungan Awam TUDM yang mengesahkan insiden berkata kesemua pesawat itu didapati terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain pada laluan yang sama sebelum mengubah arah di ruang udara Beting Patinggi Ali.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak