KUCHING: Seramai 331 Orang Kurang Upaya (OKU) menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Pusat Perubatan Pakar Normah (NMSC), hari ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, program tersebut dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Program hari ini merupakan anjuran NMSC dengan kerjasama KWKPK bertujuan membolehkan golongan OKU iaitu kumpulan rentan diberikan vaksinasi awal.
“Manakala pada minggu hadapan kita akan menyaksikan kumpulan kedua melibatkan kira-kira 300 OKU,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Fatimah dalam pada itu menyeru para presiden, pengurus pertubuhan bukan kerajaan (NGO) OKU serta JKK Kampung untuk memaklumkan kepada pihak kementerian sekiranya terdapat OKU yang masih belum berdaftar atau belum divaksin.