83 kluster aktif termasuk dua kluster baharu, satu kluster tamat

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan dua kluster baharu akibat Covid-19 di Sarawak hari ini, iaitu Kluster Sungai Sentebu, Sarikei dan Kluster Ulu Sangan, Tatau.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, Kluster Sungai Sentebu, Sarikei merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu sebuah rumah panjang di kawasan Sungai Sentebu, Sarikei.

“Kluster ini berpunca daripada pergerakan sosial dan aktiviti berkumpul semasa sambutan ambang Hari Gawai pada 31 Mei lalu.

“Sejumlah 69 individu telah disaring iaitu 48 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks dan 21 kes didapati negatif.

“Kesemua kes positif Covid-19 ini telah dimasukkan ke Hospital Sarikei dan PKRC di daerah Sarikei bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

JPBN menambah, Kluster Ulu Sangan, Tatau pula merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu sebuah rumah panjang di Ulu Sangan, Tatau.

“Kluster ini berpunca daripada pergerakan sosial dan kontak rapat dalam kalangan penduduk rumah panjang tersebut

“Sejumlah 59 individu telah disaring iaitu 12 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks dan 47 kes masih menunggu keputusan makmal.

“Kesemua kes positif itu telah dimasukkan ke Hospital Bintulu dan PKRC di daerah Bintulu bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, JPBN memaklumkan
satu kluster Covid-19 tamat pada hari ini iaitu Kluster Mongkos, Tebedu setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari melibatkan kluster tersebut.

Bagaimanapun, JPBN mendedahkan sebanyak 83 kluster masih aktif di Sarawak iaitu 13 kluster aktif merekodkan 146 penambahan kes baharu, manakala 70 kluster tidak merekodkan penambahan kes.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak