83% penduduk Matu terima dos pertama

MATU: Dalam tempoh terdekat dijangka lebih 90 peratus penduduk di Daerah Matu menerima imunisasi vaksin Covid-19 apabila pada suntikan vaksin pertama, 83 peratus penduduk di sini berjaya divaksin.

Menurut Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya, program vaksinasi di sini menunjukkan respons yang sangat positif daripada penduduk di sana.

“Kita mahu kawasan luar bandar segera mencapai imuniti kelompok dan seramai mungkin dapat disuntik dengan peratusan jangkaan 90 peratus ke atas jumlah komuniti di Matu. “Diakui juga, pencapaian kita di Matu sangat baik berbanding di kawasan lain secara amnya,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak pada Sabtu.

Jelasnya, isu yang berlaku sekarang apabila vaksin yang diperuntukkan tidak banyak namun sebagai wakil rakyat di kawasan itu, beliau bersyukur kerana sambutan penduduk Matu yang sangat positif terhadap program vaksinasi.

Sehingga semalam jelasnya, di Matu sejumlah 5,672 individu menerima vaksin termasuk giliran golongan ibu mengandung dan menyusu pula menerima vaksin.

Difahamkan, dijangkakan sejumlah 6,182 individu menerima vaksin di Daerah Matu sehingga 22 Julai ini melibatkan vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

Terdahulu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Kerajaan Sarawak kini sedang agresif dalam  memberi vaksin ke kawasan pedalaman dan luar bandar  di Sarawak.

Kempen program vaksinasi rakyat Sarawak berjalan lancar dan menunjukkan kejayaan apabila 40 peratus rakyat Sarawak kini divaksin sekurang-kurangnya untuk dos pertama setakat tempoh ini.

Ini kerana menjelang Ogos, sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk di negeri sudah divaksin.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak