ATM komited kawal sempadan negara menerusi ‘Op Benteng’

KUCHING: Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (Pati) diusir keluar ketika cuba menyelinap masuk menerusi jalan tikus di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat Indonesia bermula awal Jun hingga Sabtu lalu.

Jurucakap Infantri 1 Divisyen berkata, jumlah terbabit merangkumi empat kes pengusiran semula yang dilakukan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di sempadan sempena Op Benteng di negeri ini.

Menurutnya, pelbagai taktik dan alasan digunakan oleh Pati untuk menyelinap masuk secara haram melalui laluan sempadan yang tidak diwartakan termasuk ingin bekerja atas desakan hidup akibat pandemik Covid-19.

“Terkini pada 12 Jun sekitar jam 10.30 pagi, tiga warga Indonesia dikesan berjalan kaki menuju ke arah sempadan kira-kira dua kilometer dari Malaysia telah diusir semula oleh pasukan yang bertugas di Sektor Ladang Dafa.

“Manakala kes tertinggi pada 11 Jun sekitar jam 1.15 pagi di mana enam Pati termasuk seorang wanita telah diusir balik semula ke Indonesia di Sektor Tebedu,” jelas kenyataan itu hari ini.

Tegasnya ATM sentiasa komited dan tidak akan berkompromi dalam menggalas tanggungjawab meneruskan inisiatif Op Benteng demi memastikan aktiviti menyelinap masuk Pati dan jenayah di sempadan dapat dibendung.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak