Cubaan dua tekong tempatan seludup 11 Pati di Serian gagal

SERIAN: Tindakan dua tekong darat cuba menyeludup masuk seramai 11 pendatang asing tanpa izin (Pati) gagal selepas kedua-dua buah kereta dinaiki mereka ditahan di tepi jalan dekat Kampung Tebekang Dayak, sekitar jam 5 petang semalam.

Kedua-dua kenderaan jenis Perodua Kelisa dan Proton Waja itu berjaya dikesan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 Kuching semasa menjalankan Ops Benteng Covid-19.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata kesemua Pati gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa oleh pasukan operasi.

“Dua suspek warga tempatan masing-masing berumur 34 dan 37 tahun.

“Manakala 11 warga Indonesia iaitu tiga lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 22 hingga 47 tahun, selebihnya empat lagi individu merupakan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Aswandy, hasil siasatan awal turut mendapati kesemua Pati telah menggunakan jalan tikus di kawasan Malikin untuk memasuki Sarawak dengan tujuan ke Bintulu.

Susulan itu katanya, kedua-dua suspek warga tempatan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta ditahan reman di bawah undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) SOSMA manakala kesemua Pati ditahan di bawah Akta Imigresen kerana masuk ke Sarawak tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu katanya, tangkapan kedua melibatkan seorang tekong darat cuba membawa masuk seorang Pati turut dipatahkan di kawasan ladang sawit Tetangga Akrab Serian, sekitar jam 7.40 semalam.

Katanya hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan PGA Op Benteng Covid mendapati sebuah kenderaan jenis Perodua Kenari dipandu suspek berusia 33 tahun bersama seorang lelaki warga Indonesia.

Setelah diperiksa jelasnya, penumpang terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Kedua-duanya turut ditahan dan siasatan kes di bawah Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), dan Akta Imigresen.

Justeru Aswandy menegaskan operasi pembenterasan kemasukan warga asing akan terus diperketatkan dan berterusan bagi mengawal kemasukan pati secara haram.

Dua..Sebuah kenderaan dipandu oleh seorang lelaki tempatan dan ditumpang oleh seorang lelaki warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen pengenalan yang sah

Suara Sarawak