Datang terlalu awal dari tempoh temu janji sebabkan PPV sesak

MIRI: Ketidakpatuhan orang ramai terhadap waktu temu janji menyebabkan berlaku kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dato Permasuri, Permyjaya, semalam.

Berikutan kesesakan yang berlaku di PPV berkenaan, Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin telah bergegas ke lokasi tersebut.

Menurutnya, kesesakan itu berlaku disebabkan kekeliruan di kalangan individu yang hadir dan tidak mematuhi waktu janji temu mereka.

“Terdapat beberapa janji temu yang menerima suntikan vaksin pada jam 11 dan 12 tengah hari namun telah datang seawal jam 8 hingga 9 pagi.

“Justeru itu, saya telah berbincang dengan pegawai perubatan untuk memperbaiki sistem dan menambah kanopi untuk ruang menunggu,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan semua penerima agar tidak datang terlalu awal untuk program vaksinasi.

“Datang 15 hingga 30 minit lebih awal sudah mencukupi. Waktu vaksinasi adalah dari pukul 8 pagi hingga 8 malam,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak