Dua bulan gaji, elaun untuk Tabung Bencana Sarawak

KUCHING: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Adun Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Setiausaha Politik akan menyumbang dua bulan gaji dan elaun mereka kepada Tabung Bencana Sarawak mulai Jun ini.

Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara itu dibincangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan anggota-anggota MMKN Sarawak dan keputusan itu dipersetujui sebulat suara oleh ahli MMKN.

“Secara keseluruhan, jumlah sumbangan ini dijangka berjumlah RM 3 juta.

“Justeru, langkah ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan GPS dalam membantu rakyat yang terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Peratusan potongan gaji bulanan bagi Ahli MMKN adalah 30 peratus bagi Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri (25 peratus), Menteri/Speaker (20 peratus), Menteri Muda (15 peratus), Adun (10 peratus) dan Setiausaha Politik (5 peratus).

Jelas Pejabat Ketua Menteri, Kerajaan GPS juga akan mempertimbangkan untuk menerus dan menyambung sumbangan setiap bulan oleh Ahli MMKN, Adun GPS dan Setiausaha Politik kepada Tabung Bencana Sarawak sekiranya pandemik ini berterusan pada masa akan datang.

Suara Sarawak