E-dagang selamatkan industri buku

KUCHING: Tabiat pembaca buku membeli buku melalui platform e-dagang banyak membantu menyelamatkan industri buku sepanjang penularan Covid-19.

Pengarah Penerbit Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Roosfa Hashim berkata, walaupun industri penerbitan buku sama ada dari aspek penerbit, penulis, penjualan buku diakui sangat terjejas semasa pandemik, namun industri tersebut tetap berjalan.

Katanya, turut terlibat dalam industri ini ialah syarikat pencetakan, pengatur huruf dan kedai buku serta bahagian penerbitan yang membabitkan editor, penulis, pembaca pruf, pereka dan kakitangan pemasaran.

“Mereka boleh bekerja dari rumah menggunakan naskhah elektronik dan kakitangan pemasaran boleh menggunakan platform e-dagang.

“Penulis juga boleh terus bekerja dari rumah. Editor dan penulis boleh bermesyuarat secara maya,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Roosfa menambah, akibat Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara, beberapa penerbit kecil terpaksa menutup perniagaan walaupun jumlah mereka tidak ramai.

“Kedai buku yang besar seperti MPH pun menutup premis cawangan mereka, tetapi langkah itu juga didorong keperluan menerokai peluang jualan dan pemasaran di platform e-dagang,” jelasnya.

Menurut beliau, apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mula menawarkan buku teks dalam bentuk buku elektronik, terdapat penerbit yang bergantung pada jualan buku teks terkesan dengan serius.

“Apabila UPSR dimansuh, penerbit buku yang bergantung kepada jualan buku ulang kaji menerima kesan langsung walaupun industri buku bukan hanya tertumpu pada terbitan buku sekolah. “Pada keseluruhannya, jumlah buku baharu yang diterbitkan di negara ini masih lebih 10,000 judul pada tahun lalu, sungguhpun ia menunjukkan penurunan,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Roosfa memetik contoh di Amerika Syarikat apabila pada suku pertama tahun ini, jumlah jualan buku bercetak meningkat sebanyak 29 peratus dan ini menunjukkan buku bercetak masih menerima permintaan yang tinggi.

Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan perpindahan hampir semua kegiatan perbukuan daripada secara bersemuka ke dunia maya merupakan perubahan ketara dirasai sejak penularan Covid-19 berbanding sebelum ini.

“Promosi buku kini di laman penerbit atau media sosial lain termasuklah dalam bentuk poster elektronik, forum buku dan bicara buku juga berlangsung dalam media maya. “Malah, kedai buku di kompleks beli-belah berpindah ke pelbagai media sosial dan platform e-dagang,” tambahnya lagi.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak