Enam kluster baharu, lima kluster tamat hari ini

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah mengisytiharkan enam kluster baharu di Sarawak, hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan berkata, ia masing-masing satu di Mukah, Tatau dan Selangau serta tiga kluster di daerah Miri.

Antara kluster baharu tersebut adalah Kluster Bunut, Mukah; Kluster Jalan Brooke, Miri; Kluster Jee Cattleya, Miri; Kluster Jalan Pinang Riam, Miri; Kluster Sungai Penyarai, Tatau; Kluster Nanga Meruan, Selangau.

Dalam pada itu, JKNS juga memaklumkan terdapat lima kluster tamat setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari melibatkan Kluster Tarat Tani, Serian; Kluster Tabuan Jaya, Kuching; Kluster Sileng Dayak, Lundu; Kluster Sungai Mas, Sebauh dan Kluster Taman Pelita, Kuching.

Manakala, jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 81 kluster manakala 15 kluster telah merekodkan 98 penambahan kes baharu dan 66 kluster tidak merekodkan sebarang penambahan kes.

Sehubungan itu, menerusi kenyataan yang sama JPBN memberitahu hari ini daerah Simunjan, Bau dan Marudi telah bertukar ke status Merah daripada Jingga setelah merekodkan lebih daripada 40 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Merah telah meningkat kepada 29 daerah.

Selain itu, daerah Song pula telah kembali ke status Jingga daripada status Merah selepas merekodkan sejumlah 39 kes kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Bagi jumlah daerah berstatus Jingga adalah sebanyak empat daerah, enam daerah kekal berstatus Kuning dan satu daerah kekal berstatus Hijau.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak