Guna khidmat doktor udara

SIMANGGANG: Program suntikan vaksin di Bahagian Sri Aman akan diteruskan selepas Gawai Dayak pada 3 hingga 7 Jun ini.

Menteri Penasihat JPBB Sri Aman, Datuk Francis Harden Hollis berkata, program suntikan vaksin itu akan membabitkan seramai 1,602 orang.

“Hari ini merupakan hari terakhir bagi program suntikan vaksin untuk bukan Mei,” katanya dalam satu kenyataan semasa melawat PVV Dewan Suarah Sri Aman.

Harden berkata, kerajaan sedang berusaha untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat dan mungkin akan mencadangkan jumlah orang yang menerima suntikan harian kepada 500 orang pada satu masa.

“Usaha juga dicadangkan dengan menggunakan perkhidmatan doktor udara untuk program vaksinasi terhadap penduduk di pedalaman. “Itupun bergantung kepada kesesuaian pengendalian vaksin setelah mendapat nasihat daripada KKM,” ujarnya.

Ketika lawatan itu, Harden diberi taklimat mengenai operasi harian PPV Dewan Suarah Sri Aman oleh Dr Janariah Jangani, selaku pegawai yang bertanggungjawab dalam program pemberian vaksin di Bahagian Sri Aman.

Sebagai makluman, bakal penerima vaksin selain daripada panggilan telefon pihak KKM telah menggunakan saluran RTM, media sosial, Pejabat Daerah dan KMKK. Ini bagi memastikan semua orang yang layak menerima vaksin mengikut jadual.

“Saya menasihati rakyat di kawasan pedalaman agar peka dengan hebahan daripada manamana saluran terutama siaran radio tempatan supaya hebahan pemakluman kepada mereka yang bakal menerima vaksin dapat disampaikan dan mereka boleh hadir ke PPV berdekatan,” katanya.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti itu menambah, trend kes positif Covid-19 yang meningkat kerana pembawa dalam kalangan rakyat telah memasuki komuniti.

“Langkah kerajaan menguatkuasakan PKP harus dipatuhi dan semua pihak akur dengan nasihat pihak berkuasa. Ketika musim Gawai Dayak, rakyat di bandar dilarang balik ke rumah panjang,” tegasnya.

Menurut Harden, larangan ini bukan untuk menyusahkan rakyat namun demi kebaikan penghuni rumah panjang dan semua rakyat.

“Semoga kita sama-sama mengambil bahagian dalam mengekang penularan Covid-19 dan diharap usaha kita berjaya dan hidup kita boleh kembali seperti sebelum Covid melanda,” ujarnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak