Jangan sebar spekulasi kes kematian selepas divaksin di Hospital Miri

MIRI: Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes kematian di Hospital Miri pada 26 Jun lalu selepas mendapat suntikan vaksin Covid-19 serta mendapatkan maklumat rasmi daripada sumber yang disahkan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, kes tersebut telah mendapat perhatian apabila dilaporkan meninggal dunia selepas mendapat suntikan vaksin Covid-19.

“Namun demikian, prosedur bedah siasat telah dijalankan terhadap kes tersebut pada 27 Jun lalu dan penemuan awal bedah siasat mendapati adanya tanda serangan jantung telah berlaku dua atau tiga hari sebelum kematian.

“Laporan bedah siasat juga mendapati tiada tanda-tanda anafilaksis akibat pengambilan vaksin ditemui.

“Kes kematian tersebut masih di dalam siasatan Hospital Miri dan sedang menunggu keputusan daripada ujian yang dijalankan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebagai rekod, kes merupakan seorang wanita berumur 57 tahun dengan sejarah ko-morbid penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Menurut Sapian, setelah melaksanakan saringan awal dan persetujuan termaklum (informed consent), individu tersebut telah menerima suntikan vaksin pada 26 Jun, jam 9.20 pagi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam Hospital Miri.

“Ketika dalam pemantauan di Zon Pemerhatian selepas divaksinasi, individu tersebut mengadu loya, kesejukan dan muntah pada jam 9.30 pagi dan telah segera dirawat di Zon Resusitasi oleh Pakar Perubatan Kecemasan.

“Bagaimanapun, keadaan kesihatan individu tersebut terus merosot dan telah dipindahkan ke Unit Rawatan Kecemasan, Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” jelasnya.

Beliau menambah, rawatan kecemasan telah diberikan secara berterusan selama 40 minit namun, individu tersebut disahkan meninggal dunia pada pukul 11.10 pagi.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak