JPB Bintulu sedang perhalusi SOP PKP 3.0

BINTULU: Prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih diguna pakai dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Bahagian Bintulu  dengan semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor perlu dalam senarai positif yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu, bagaimanapun, berkata, pihaknya masih dalam proses perbincangan untuk memperhalusi beberapa perkara berkaitan.

Beliau berkata pihaknya akan mengumumkan perkara itu dalam masa terdekat.

Menjawab pertanyaan media sama ada individu yang sudah lengkap dos vaksin perlu menjalani ujian calitan rt-PCR untuk rentas daerah atau bahagian lain, Jack berkata pihaknya sedang  kita meneliti perkara tersebut.

Terdahulu, Residen Bahagian Bintulu bersama-sama Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King hadir ke PPVIN Kelab Kidurong Bintulu bagi melihat kelancaran aktiviti pemberian vaksin di PPVIN berkenaan sekali gus menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan berupa  barangan keperluan bagi kegunaan di PPVIN tersebut kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu.

Sumbangan bernilai RM52,000 berupa lapan unit komputer riba, 20 set ‘queue-up stands’ dan lima unit peti penyimpanan vaksin  gred perubatan  disampaikan Pengarah Urusan Asean Bintulu Fertilizer (ABF), Aslam Khan Mohater Khan kepada Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak