Kekurangan guru Bahasa Iban kritikal

KUCHING: Kekurangan tenaga guru untuk mengajar subjek Bahasa Iban di sekolah-sekolah di Sarawak kini pada tahap kritikal, kata Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS).

Justeru Naib Presiden II DTTAS Diana David Itang dan Setiausaha Agung DTTAS Evelyn Julian menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar menangani segera isu berkenaan, memandangkan subjek Bahasa Iban adalah diiktiraf dalam sukatan pelajaran di negara ini.

“Di Sarawak, seramai 2,250 guru Bahasa Iban diperlukan sebelum ia menjadi lebih kritikal apabila guru-guru yang berkhidmat sekarang bersara dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi satu kenyataan bersama, semalam.

Sehubungan itu, mereka menggesa KPM menambah jumlah pengambilan guru pelatih Bahasa Iban di Sarawak untuk dilatih di institut pendidikan guru (IPG) sedia ada sejajar dengan tarafnya yang sudah diiktiraf.

“KPM juga harus menambah bilangan guru pelatih Bahasa Iban dalam setiap pengambilan ke IPG sehingga isu kekurangan guru Bahasa Iban ini selesai,” katanya.

Pada masa sama, Diana dan Evelyn mencadangkan supaya KPM turut mengambil guru Bahasa Iban menerusi pengambilan khas secara sekali guru yang akan dilaksanakan.

Suara Sarawak