Kembali melonjak, 744 kes positif baharu, lima kematian

KUCHING: Sarawak merekodkan 744 kes baharu Covid-19 hari ini dengan sejumlah 413 atau 55.51 peratus daripada jumlah kes itu telah dikesan di lima buah daerah iaitu di Daerah Kuching, Bintulu, Tatau, Sibu dan Kapit.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 56,187 kes.

“Daerah yang merekodkan kes pada hari ini ialah daerah Kuching (121), Bintulu (103), Tatau (74), Sibu (63), Kapit (52), Sarikei (47), Subis (45), Song (44), Sri Aman (31), Meradong (26), Tanjung Manis (22), Lubok Antu (20), Miri (20), Lundu (16), Mukah (13), Telang Usan (11), Serian (6), Samarahan (5), Bukit Mabong (4), Pakan (4), Bau (3), Kanowit (3), Tebedu (3), Julau (2), Dalat (2), Selangau (1), Sebauh (1), Betong (1) dan Beluru (1).

“Daripada 744 kes baharu yang dilaporkan, seramai 61 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan.

“Manakala, seramai 588 orang adalah terdiri daripada individu yang telah diberikan arahan perintah kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan sama, JPBN memaklumkan terdapat lima kes kematian baharu melibatkan jangkitan Covid-19 dilaporkan dan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian meningkat kepada seramai 356 orang.

Daripada lima kes kematian tersebut, tiga kes kematian melibatkan lelaki rakyat Sarawak di Sibu dan dua lagi adalah lelaki dan perempuan rakyat Sarawak di Kuching.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak