Kerajaan S’wak berfungsi seperti biasa

KUCHING: Menteri dan Adun Kerajaan Sarawak masih menjalankan fungsinya seperi biasa dengan mengambil kira darurat di peringkat nasional, tetapi mereka tidak boleh menggubal undangundang baharu dalam tempoh tersebut.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, tarikh 6 Jun (esok) bermakna genap lima tahun penggal Dun Sarawak.

“Dalam keadaan biasa, Dun Sarawak akan bubar secara automatik dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. “Namun Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah telah bersetuju bahawa PRN Sarawak tidak dapat diadakan dalam tempoh terdekat ini kerana pandemik Covid-19 dan tempoh darurat diisytiharkan,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Sehubungan itu katanya, Yang di-Pertuan Agong telah menasihati Kerajaan Sarawak agar terus berfungsi seperti biasa biarpun tempoh Dun tamat selepas 6 Jun ini.

“Baginda bertitah bahawa Kerajaan Sarawak boleh terus berfungsi seperti biasa sepanjang tempoh darurat yang diperkenan Baginda melalui pengisytiharan yang berkuat kuasa 11 Januari lalu hingga 1 Ogos ini.

“Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda juga telah menasihati atas faktor keadaan Covid-19 agak membimbangkan, maka Kerajaan Sarawak perlu berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021,” jelasnya.

Awang Azman menambah, kabinet negeri masih berfungsi seperti biasa selepas 6 Jun dan ia juga dianggap sebagai kabinet interim sebelum Dun dibubarkan. Menurutnya lagi, situasi darurat di peringkat nasional mengatasi undang-undang pilihan raya di peringkat mana-mana negeri termasuk di sarawak.

“Maka Sarawak tertakluk kepada pematuhan darurat negara. Tiada keperluan untuk mengadakan PRN selagi darurat masih berlangsung,” ujarnya. Sebaliknya apabila darurat tamat, Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri akan menentukan tarikh sebenar PRN Sarawak, jelasnya.

“Kalau darurat tamat pada 1 Ogos, maka PRN Sarawak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. “Namun kesemua ini bergantung kepada jumlah kes Covid-9 di Sarawak. Jika masih tinggi, maka ia akan ditangguhkan ke tempoh yang munasabah oleh Baginda,” katanya.

Tambah Awang Azman lagi, ia juga bergantung kepada tahap pencapaian pemberian vaksin di Sarawak.

“Jika melebihi 80 peratus, maka selamat diadakan PRN Sarawak kerana imuniti kelompok sudah terbentuk dan mampu mengelak penularan Covid-19 seperti yang pernah berlaku ketika PRN Sabah,” jelasnya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak