Kesemua suspek kes dera kanak-kanak di reman tujuh hari bermula hari ini

BETONG: Kesemua empat suspek kes dera kanak-kanak dua tahun yang meninggal dunia semalam, di reman tujuh hari bermula hari ini hingga 13 Jun depan.

Ketua Polis Daerah Betong Deputi Superintendan Zamry Alli ketika dihubungi Suara Sarawak mengesahkan perkara terbabit.

“Pihak kami akan melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Berhubung proses bedah siasat, beliau memaklumkan hanya akan dijalankan selepas keputusan ujian saringan Covid-19 ke atas kanak-kanak tersebut diperoleh.

“Kita masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 mangsa, selepas itu baru bedah siasat dapat dilakukan. Insya-Allah dalam masa terdekat,” ujarnya.

Semalam, polis menahan ibu serta tiga ahli keluarga mangsa kerana disyaki melakukan penderaan sehingga menyebabkan kematian.

Zamry turut mengesahkan pihaknya menyiasat lanjut kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak